Oleh: Sholina Osman
15 APRIL 2026
Yayasan Prihatin Nasional memberikan sumbangan sebanyak 1,100 pek kotak kuih raya untuk petugas jabatan serta agensi yang terlibat membantu menghadapi bencana banjir besar yang melanda negeri Perlis pada hujung tahun lepas.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan Simbolik Penyerahan Sumbangan Kuih Raya berkenaan yang dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali dan seterusnya mengurniakan kepada beberapa wakil yang mewakili keseluruhan 22 buah jabatan dan agensi terbabit.
Berangkat sama ke sesi yang diadakan sebagai sebahagian daripada program Majlis Kenduri Rakyat bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahann Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang diadakan di Kuala Perlis itu baru-baru ini Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
TANPA RASA PENAT
Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan buat petugas-petugas yang bertungkus lumus berkhidmat tanpa rasa penat lelah bagi memastikan pengurusan bencana banjir berjalan lancar, serta membantu rakyat jelata yang terkesan dengan bencana banjir ini.
Sumbangan menerusi inisiatif Tengku Puan Laksamana Kelantan, Datuk Seri DiRaja Sharifah Azwan binti Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail oleh Yayasan Prihatin Nasional yang bekerjasama dengan tiga buah yayasan diraja Perlis terdiri daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah, dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Timbalan Ketua Polis Perlis, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perlis, Wakil Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia Negeri Perlis, dan juga Wakil Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis hadir menerima sumbangan tersebut mewakili organisasi masing-masing daripada Tuanku Raja.
JABATAN DAN AGENSI
Antara 22 Jabatan dan agensi yang dikenalpasti menerima adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, Perlis Volunter Action Community (PVAC), Angkatan Pertahanan Awam Perlis, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perlis, Jabatan Sukarelawan Malaysia Negeri Perlis, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),
Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis, Environment Idaman Sdn. Bhd., Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis, Syarikat Air Perlis (SAP),
Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perlis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Pejabat Pembangunan Persekutuan ICU Negeri Perlis, Pejabat Meteorologi Perlis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis, dan Angkatan Tentera Malaysia yang berpusat di Perlis. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia