Agensi Bersama
Agensi Bersama
- Jabatan Mufti Negeri Perlis
- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
- Jabatan Kehakiman Syariah
- Jabatan Pendakwaan Syarie
Jabatan Mufti Negeri Perlis
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis merupakan salah satu Badan Kerajaan yang bertanggungjawab secara khusus mengkaji dan memberi pandangan Fatwa kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bagi setiap persoalan yang memerlukan kepada Fatwa selain memberi pandangan dan khidmat nasihat kepada masyarakat di dalam setiap perkara yang berkaitan Hukum Syarak.
Sejarah Penubuhan
Jabatan Mufti Negeri Perlis pada peringkat awalnya merupakan salah satu bahagian daripada Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs). Ia dikenali sebagai bahagian fatwa. Namun pada tahun 1996, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan satu surat pekeliling mengenai pengasingan bahagian fatwa daripada Jabatan Agama Islam setiap negeri di Malaysia. Maka tertubuhlah Jabatan Mufti Negeri Perlis diketuai oleh Sahibus Samahah Mufti sebagai ketua Jabatan.
Senarai Mufti-Mufti Negeri Perlis
Tahun | Nama Mufti Perlis |
---|---|
1941-1945 | Sheikh Mahmud bin Hj. Muhd. Saman |
1945-1970 | Ustaz Salleh bin Othman |
1970-1984 | Sheikh Hj. Abdul Rahman bin Hj. Ismail (Mangku) |
1984-2006 | Dato’ Alim Panglima Hj. Mat Jahya bin Hj. Hussin |
2006-2008 | Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin |
2009-2014 | Dr. Juanda bin Jaya |
2015-Sekarang | Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin |
Kedudukan Jabatan Mufti Negeri Perlis
Majlis apabila mengeluarkan Fatwa dan Jawatankuasa Syariah apabila memberi pendapatnya hendaklah mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w dengan syarat jika dengan demikian ini menjelaskan kepentingan awam. Majlis atau Jawatankuasa Syariah itu hendaklah merujuk fatwa itu kepada Duli Yang Maha Mulia Raja untuk keputusan beliau. Apabila membuat fatwa, majlis hendaklah memberi perhatian kepada Adat Istiadat Melayu atau Undang-Undang Adat Melayu yang berkuatkuasa di Negeri Perlis. Mana-mana fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis dan mana-mana keputusan yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja hendaklah Majlis atau Duli Yang Maha Mulia Raja memikirkan patutu diisytiharkan di Warta Kerajaan dan dengan demikian tertakluk kepada mana-mana Undang-undang bertulis fatwa itu mengikut semua Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Undang-undang Negeri.
Jenis-Jenis Fatwa yang Diamalkan di Negeri Perlis:
Bagi Negeri Perlis, Fatwa adalah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis. Majlis boleh mengemukakan sebarang soalan yang berkaitan dengan fatwa yang hendak di keluarkan itu kepada Jawatankuasa Syariah dan Jawatankuasa Syariah memberi pendapatnya kepada majlis dengan bertulis dan pendapat itu adalah pendapat yang dipersetujui oleh Ahli-ahli Jawatankuasa tersebut sama ada dengan sebulat suara atau dengan suara yang terbanyak.
Dasar Penggubalan Fatwa
Sistem atau dasar untuk mengubal fatwa yang dilakukan di Negeri Perlis adalah berlainan sedikit dengan Negeri-negeri Melayu lain. Di Perlis, Jawatankuasa Syariah hendaklah mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan tidak semestinya mengikut mana-mana mazhab yang tertentu. Keputusan hukum hendaklah berpandu kepada suara yang terbanyak.
Fungsi Jabatan Mufti
Majlis Penasihat
Membantu dan menasihat DYMM Tuanku dan Kerajaan Negeri dalam perkara-perkara yang menyentuh persoalan Fatwa, Hal Ehwal Agama Islam dan isu semasa yang perlu penjelasan hukum Syara’.
Pusat Penyelidikan
Membuat penyelidikan terhadap isu yang memerlukan kepada keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis.
Pusat Pengetahuan
Memberi maklumat yang sistematik berkaitan dengan segala masalah yang berhubung dengan Fatwa.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) adalah badan berasingan daripada kuasa Kerajaan Negeri Perlis yang ditubuhkan selaras dengan peruntukan seksyen 6(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948: “Ketua Agama bagi Negeri ialah Raja dan Raja boleh memerintah supaya dibuat undang-undang untuk tujuan mengatur dan menubuh sebuah majlis yang dinamakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu bagi membantu dan menasihat Baginda di dalam segala perkara yang berkaitan dengan agama Negeri dan adat istiadat Melayu”.
Kuasa MAIPs sebagai sebuah Dewan DiRaja yang membantu Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dalam hal ehwal Agama Islam turut ditegaskan oleh Seksyen 4(1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tahun 2006 yang menyebut: “Maka hendaklah ada suatu badan bernama “Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis” untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu”.
Kuasa-kuasa MAIPs sebagai pembuat dasar hal ehwal Islam digariskan oleh Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tahun 2006 yang menyebut: “Majlis hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan Agama Islam di dalam Negeri Perlis, kecuali perkara-perkara Hukum Syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di dalam Negeri Perlis selepas Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini”.
Adapun Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis(JAIPs) adalah dua jabatan yang merupakan jentera kerajaan negeri dan terletak di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Jabatan Mufti Negeri Perlis mempunyai bidang kuasa yang berhubungan dengan perkara-perkara Hukum Syarak seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 45, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tahun 2006 yang menegaskan:“Mufti hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Perlis selepas Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini”.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) pula ditubuhkan sebagai jentera Kerajaan Negeri Perlis yang berfungsi membantu melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh MAIPs dengan lebih fokus dan berkesan. Dalam Hukum Syarak, JAIPs adalah terikat dan perlu melaksanakan fatwa dan irsyad Jabatan Mufti Negeri Perlis. Oleh itu, JAIPs sebagai pelaksana dasar sentiasa menjalankan fungsi-fungsi yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan MAIPs sebagai pemutus dasar dari semasa ke semasa. Fungsi dan peranan JAIPs adalah berpandukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948, enakmen-enakmen dan fatwa yang ditetapkan oleh MAIPs yang kini diterajui oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis. Ekoran daripada penstrukturan semula MAIPs oleh Unit Permodenan Tadbiran Malaysia (MAMPU), pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam diletakkan dibawah jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis mulai tahun 1988.
Bahagian-Bahagian JAIPs
JAIPs terdiri daripada lapan bahagian yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal Islam bagi Negeri Perlis. Bahagian-bahagian tersebut adalah:
Bahagian Khidmat Pengurusan
Bahagian Dakwah dan Pengurusan Masjid
Bahagian Pendidikan
Bahagian Pentadbiran Undang-undang Syariah
Bahagian Penguatkuasaan
Bahagian Pendakwaan
Bahagian Penyelidikan dan Hub Halal
Bahagian Takmir
Sebagai sebuah agensi agama Islam yang terpenting di Negeri Perlis, JAIPs sentiasa berperanan sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab mengukuhkan pemahaman manhaj Ahlul al-Sunnah wal-Jamaah seperti yang termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 kepada seluruh umat Islam di Negeri Perlis melalui aktiviti dan program yang dirancang oleh JAIPs.
Jabatan Kehakiman Syariah
Mahkamah Syariah pada peringkat awalnya dikenali sebagai Mahkamah Kadi Negeri Perlis telah ditubuhkan pada tahun 1304H bersamaan 1921M. Penubuhannya berdasarkan kepada Undang-undang No.15 tahun 1304H dan berkuatkuasa sehinggalah digantikan dengan Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Perlis 1963. Mahkamah Kadi pada masa tersebut berada di bawah Pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis. Kerajaan Negeri Perlis telah menggubal dan mewartakan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991 pada 03 Disember 1992 untuk menaiktaraf dan menggantikan struktur Mahkamah Kadi yang sedia ada.
Pada 01 Januari 1995, Mahkamah Kadi diasingkan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dan mempunyai pentadbiran sendiri dan diketuai oleh seorang Kadi Besar Perlis sepertimana yang diperuntukan dalam seksyen (3), Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991.
Struktur Organisasi Mahkamah Syariah
Pada tahun 1996, Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991 telah dipinda bagi membolehkan penyusunan semula struktur mahkamah. Mahkamah Kadi telah dikenali sebagai Mahkamah Syariah. Menurut Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Perlis 1991 (pindaan) 1996 yang diwartakan pada 30 Mac 2000, struktur organisasi Mahkamah Syariah Negeri Perlis terbahagi kepada tiga peringkat:
Mahkamah Rayuan Syariah
Mahkamah Tinggi Syariah
Mahkamah Rendah Syariah
Undang-Undang Baru
Sebagai penambahbaikan sistem pentadbiran perundangan Syariah di Negeri Perlis, pada tahun 2006 Dewan Undangan Negeri Perlis telah meluluskan beberapa undang-undang baru, antaranya:
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 (Pindaan 2017)
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 2006
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2006
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2006
Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah 2006
Setelah penstrukturan semula Jabatan banyak perubahan telah berlaku, antaranya pertambahan kakitangan dan pegawai dari hanya 7 orang pada peringkat awal kepada 44 orang pada masa sekarang. Selain itu unit-unit baharu ditubuhkan secara sistematik dan teratur seperti Unit Pengurusan dan Pentadbiran, Unit Kehakiman, Unit Penyelidikan, Unit Sulh, Unit Teknologi Maklumat, Unit Rekod dan Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga.
Dari segi infrastruktur, sebuah Kompleks Mahkamah Syariah baru telah dibina melalui peruntukan kerajaan Persekutuan. Bangunan baru tersebut telah mula diduduki sejak tahun 2006 sehingga kini.
Bangunan tersebut telah dirasmikan pada 23 Julai 2013 oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan dimashyurkan sebagai Darul Qada’ Tuanku Syed Sirajuddin.
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis (JPSyPs) merupakan satu jabatan baharu di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis yang bertanggungjawab secara khusus menjalankan prosiding pendakwaan bagi kesalahan-kesalahan di bawah enakmen-enakmen Syariah Negeri Perlis.
Sejarah Penubuhan
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis dahulunya dikenali Bahagian Pendakwaan, yang beroperasi dibawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs). Seterusnya Bahagian Pendakwaan ini telah diasingkan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis dan dinaiktaraf sebagai satu Jabatan yang diketuai oleh seorang Pengarah merangkap Ketua Pendakwa Syarie (KPS). Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis secara rasminya ditubuh pada 1 Januari 2024 dan telah memulakan operasinya di Aras 4, Blok B, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Kronologi Sejarah Penubuhan
Tarikh | Titik Pencapaian |
---|---|
02/02/2017 | Keputusan Mesyuarat MAIPs – bersetuju Bahagian Pendakwaan menjadi Jabatan Pendakwaan Syariah. |
02/11/2021 | Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis meluluskan Kertas Cadangan Penubuhan JPSyPs. |
08/12/2022 | JPA memperakukan pewujudan JPSyPs. |
03/03/2023 | MOF memperakukan surat kelulusan perjawatan (S.K.P N93 Tahun 2023). |
01/01/2024 | JPSyPs beroperasi secara rasmi. |
Kedudukan JPSyPs
Pelantikan dan kuasa pendakwaan JPSyPs dalam Negeri Perlis di dalam peruntukan Seksyen 78, Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Undang-Undang Negeri Perlis menerangkan pelantikan Ketua Pendakwa Syarie dan mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya bagi memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan mana-mana Mahkamah Syariah serta pelantikan Pendakwa-Pendakwa Syarie.
Bahagian-Bahagian JPSyPs
Terdapat empat (4) Bahagian di Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis (JPSyPs) bagi memantapkan pengurusan dan pendakwaan syariah, seperti yang berikut:
Bahagian Perbicaraan dan Rayuan
Bahagian Penyelidikan dan Perundangan
Bahagian Pendaftaran, Rekod dan Dokumentasi
Bahagian Khidmat Pengurusan
Sebagai sebuah agensi agama Islam yang terpenting di Negeri Perlis, JAIPs sentiasa berperanan sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab mengukuhkan pemahaman manhaj Ahlul al-Sunnah wal-Jamaah seperti yang termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 kepada seluruh umat Islam di Negeri Perlis melalui aktiviti dan program yang dirancang oleh JAIPs.
Hubungi Kami
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis boleh dihubungi melalui:
Alamat
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis
Aras 4, Blok B,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis
Persiaran Wawasan
01000 Kangar
Perlis
Telefon
04-9708461
Emel
jpsyps@perlis.gov.my
Teroka Lebih Lanjut
Carta Organisasi
MAIPs merupakan institusi utama dalam pengurusan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu di negeri Perlis. Pengurusan MAlPs dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim bin Haji Mohd Noor, yang dibantu oleh beberapa unit dan bahagian yang memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Subsidiari
MAIPs merupakan institusi utama dalam pengurusan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu di negeri Perlis. Pengurusan MAlPs dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim bin Haji Mohd Noor, yang dibantu oleh beberapa unit dan bahagian yang memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Ahli Majlis
Ketahui dengan lebih mendalam tentang barisan kepimpinan tertinggi dan Ahli MAIPs.