KANGAR, 31 Dis — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjaya melakar pelbagai kecemerlangan sepanjang tahun 2021, antaranya melaksanakan sembilan inisiatif dalam menangani pandemik COVID-19.
MAIPs menerusi satu kenyataan hari ini berkata kejayaan lain yang dicapainya termasuk pengagihan 45 skim agihan zakat secara hikmah dan bersasar, penerusan program latihan dan penempatan pekerjaan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) serta 23 inisiatif di bawah Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0.
Selain itu MAIPs berjaya menyerahkan sepenuhnya Bangunan Wakaf MAIPs untuk Pusat Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selain melaksanakan Projek Diraja Perkampungan Warna-Warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis.
Menurutnya MAIPs turut menjalankan projek pembinaan Kompleks Pengurusan MAIPs dan Asnaf serta memulakan beberapa projek fizikal di bawah Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0 menerusi pelaksanaan projek mercu tanda.
Tarikh kemaskini: 4/11/2025