PENDEDAHAN KAMPUS, PENEROKAAN ILMU DAN SANTAPAN DIRAJA MENYEMARAKKAN CITA-CITA GENERASI MUDA

PENDEDAHAN KAMPUS, PENEROKAAN ILMU DAN SANTAPAN DIRAJA MENYEMARAKKAN CITA CITA GENERASI MUDA

yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) terus menabur bakti dalam membangunkan bakat muda negeri menerusi pengalaman pendidikan yang menggabungkan pembinaan jati diri, penerokaan ilmu dan aspirasi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Seramai 101 pelajar Tingkatan Empat terpilih, terdiri daripada pelajar cemerlang dan pengawas daripada 30 buah sekolah menengah di seluruh negeri Perlis, diraikan dalam lawatan khas ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Bengkel ke Arah Pembinaan Jati Diri yang Cemerlang (Towards Excellence Self-Esteem Development) yang berlangsung di Bahang Bay Hotel dari 18 hingga 20 Ogos 2026. Program ini adalah bukti usaha berterusan YTSP dalam membina keyakinan, kepimpinan dan hala tuju masa depan generasi muda.

Aktiviti Pelajar di USM
Inisiatif berkenaan di samping membawa pelajar keluar daripada persekitaran sekolah ianya mampu membuka ruang untuk mereka melihat sendiri dunia universiti, mengenali budaya ilmu serta membayangkan masa depan sebagai mahasiswa dan pemimpin negara. Pada peringkat Tingkatan Empat, pendedahan sedemikian penting bagi membantu pelajar menghubungkan usaha akademik hari ini dengan pilihan pengajian, kerjaya dan sumbangan kepada masyarakat pada masa depan.

Sepanjang berada di USM, para pelajar mengikuti taklimat dan lawatan berstruktur di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah. Pengisian lawatan meliputi Pameran Cap & Print, Kampung Lestari, Koleksi Etnografi dan Gelanggang Kosmo, selain aktiviti set DIY yang menggalakkan pembelajaran secara amali, kreativiti dan sifat ingin tahu.

Majlis Santapan Tengah Hari
Kemuncak lawatan tersebut ialah Majlis Santapan Tengah Hari di Panggung Pelinggam Cahaya yang ditaja oleh YTSP dan diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis.

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail; Setiausaha Kehormat YTSP, YBhg. Dato’ Johari Mohd Darus; Ahli-ahli Lembaga YTSP; Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta barisan pengurusan tertinggi USM yang diketuai oleh Naib Canselor, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc. dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor.

Keberangkatan DYTM Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis
Keberangkatan DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis untuk bersama-sama meraikan para pelajar memberikan nilai yang amat istimewa kepada program tersebut. Kesudian Baginda berdua meluangkan masa dan mendekati generasi muda menunjukkan keprihatinan berterusan Institusi Diraja Perlis terhadap pendidikan, pembangunan sahsiah dan masa depan anak-anak negeri.

Bagi USM, kunjungan ini merupakan satu penghormatan dan peluang untuk mendekatkan universiti kepada pelajar sekolah. Kampus bukan sahaja menjadi tempat menimba ilmu, malah ruang untuk mencetuskan imaginasi, menemukan potensi diri dan membina tekad untuk memberikan sumbangan bermakna kepada negeri dan negara.

“USM amat berbesar hati menyambut para pelajar Perlis dan menjadi sebahagian daripada perjalanan penting ini. Kami harap setiap pelajar yang melangkah ke kampus melihat pendidikan tinggi bukan sekadar sebagai impian, tetapi sebagai peluang yang mampu dicapai melalui usaha, disiplin dan keyakinan terhadap potensi diri”, kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc.

Lawatan ini membawa mesej yang jelas kepada setiap pelajar bahawa latar belakang bukan penghalang untuk mencapai cita-cita. Kecemerlangan bermula apabila seseorang berani mengenali potensi diri, memperkukuh jati diri dan melangkah dengan tujuan. Melalui kepimpinan dan komitmen YTSP, sokongan Institusi Diraja Perlis serta kerjasama strategik USM, perjalanan 101 pelajar ini diharap menjadi titik tolak kepada seribu kejayaan baharu.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.