ARAU, 17 Ogos 2026 – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima mengadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman di Balai Mengadap Biru, Istana Arau, hari ini.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Majlis mengadap berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, khususnya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan secara telus serta berintegriti.
Dalam konteks pentadbiran negeri, penerapan nilai integriti dan budaya antirasuah menjadi elemen penting yang berpaksikan prinsip rule of law atau kedaulatan undang-undang.
Pendekatan itu penting bagi membina dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap institusi, selain memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal cekap, telus dan berakauntabiliti.
Abdul Halim, yang juga bekas Hakim Mahkamah Tinggi, mula menjalankan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 13 Mei lalu.
Beliau mengambil alih kepimpinan SPRM daripada Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei lalu.
Foto: Istana Arau
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia