KANGAR: Sebanyak 10,719 asnaf menerima zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pemberian zakat itu diharap dapat menceriakan mereka menjelang sambutan 1 Syawal tidak lama lagi.
Katanya, penerima zakat tersebut dikenal pasti oleh amil di peringkat kariah masing-masing.
“Amil memainkan peranan serta tanggungjawab membantu MAIPs meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat,” katanya pada majlis Agihan Bantuan Fitrah MAIPs Tahun 2022 di Masjid Al-Istiqamah Kangar, hari ini.
Hadir sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris.
Sempena program tersebut Raja Muda menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih dalam kariah masjid berkenaan.
MAIPs sebelum ini menyalurkan sumbangan bantuan makanan bernilai RM577,000 sempena Program Ziarah Dakwah Bil Hal MAIPs di seluruh Perlis.
Sementara itu pada program di perkarangan Masjid Putra, Simpang Empat semalam Mohd Nazim berkata, program Ziarah Dakwah Bil Hal merupakan pendekatan MAIPs bagi membantu asnaf dan penduduk miskin di 102 masjid di seluruh negeri.
“Agihan makanan berkenaan adalah salah satu usaha memperkasakan institusi masjid sebagai pusat kesejahteraan sosial ummah,” katanya.
Menurut beliau juga pendekatan turun padang sentiasa diutamakan dan perlu diterapkan kepada semua wakil MAIPs di peringkat kariah.
Tarikh kemaskini: 4/16/2025