PADANG BESAR: T.H. Mineral Water Industries (M) Sdn. Bhd. melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menyumbangkan 3,600 liter air mineral kepada mangsa bencana kepala air di Baling, Kedah.
Sumbangan tersebut dipersembah oleh Pengarah Eksekutifnya, Loh Kien Hin kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena keberangkatan baginda merasmikan Production Line 250ml TH Mineral Water di kilang mereka di Jalan Tasoh, Kaki Bukit, di sini hari ini.
Yang hadir sama Exco kerajaan negeri, Teh Chai Aan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Loh berkata, beliau dan seluruh warga T.H. Mineral menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Tuanku Syed Faizuddin bersama-sama anakanda kedua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail berangkat bagi menyempurnakan perasmian tersebut.
“Sebagai tanda syukur atas perkenan dan kesudian Raja Muda Perlis itu, syarikat berbesar hati untuk turut membantu mangsa-mangsa yang terkesan dengan banjir di negeri jiran itu dengan harapan semoga sumbangan kecil ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka.
“Sebanyak 2,400 botol air mineral berjenama Star Cool diserahkan kepada YTSP Perlis dan terus dihantar ke Sungai Lata Celak, Kampung Iboi melalui Misi Bantuan Baling oleh MAIPs dan sukarelawan Majlis Belia negeri,” katanya.
Kilang air mineral T.H. Mineral Water beroperasi sejak 2015 dan kini mempunyai seramai 30 pekerja.
Tarikh kemaskini: 4/17/2025