Arau, 12 Mei 2020 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan pengimbas suhu kepada semua masjid kariah seluruh negeri Perlis sebagai langkah melengkapkan syarat bagi mematuhi kebenaran Solat Jumaat bersyarat bermula 15 Mei ini.
Penyampaian berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang DiPertua MAIPs di Galeri Diraja Istana Arau.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hj Hazman Hassan menerima sumbangan berkenaan mewakili Persatuan Jamiyah Pegawai-pegawai Masjid Negeri Perlis.
Turut hadir dalam majlis berkenaan Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Mohd Nazim berkata, pihak MAIPs merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang yang bermurah hati memberikan sumbangan zakat melalui MAIPs.
“MAIPs sentiasa berusaha untuk melaksanakan tugas sebagai peneraju pengurusan hal ehwal Islam yang cemerlang demi kesejahteraan seluruh rakyat,” jelas beliau.
Untuk rekod, Perlis merupakan negeri pertama yang membatalkan Solat Jumaat pada 13 Mac 2020 lalu dan pertama mengumumkan kebenaran bersyarat bermula 15 Mei 2020 setelah diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Tarikh kemaskini: 4/24/2025