Raja Muda Perlis seru atlet jadikan sukan lambang perpaduan

Raja Muda Perlis seru atlet jadikan sukan lambang perpaduan

KUALA PERLIS, 17 Ogos 2026 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru semua pihak yang terbabit dalam apa jua bidang sukan supaya bertanding dengan semangat kesukanan tinggi serta menjadikannya sebagai wadah memperkukuh perpaduan dan kesatuan masyarakat.

Baginda bertitah, sukan memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi muda yang seimbang, bukan sahaja dari aspek jasmani, malah turut membantu membentuk sahsiah, emosi dan kepimpinan.

“Melalui sukan juga, nilai keberanian, disiplin, penghormatan terhadap peraturan serta sikap rendah hati dalam meraikan kejayaan dapat dipupuk,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian sempena program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Batu Lima, Jalan Kuala Perlis, baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Program kayuhan yang dilaksanakan secara berkala oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu merupakan antara pendekatan mendekati masyarakat, khususnya golongan asnaf, selain membolehkan bantuan disampaikan secara terus kepada mereka yang memerlukan.

Inisiatif turun padang berkenaan turut memberi peluang kepada MAIPs meninjau sendiri keadaan kehidupan penerima bantuan serta memahami keperluan mereka dengan lebih dekat.

Sempena kayuhan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf berupa wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah.

Tiga penerima yang dipilih pada edisi kali ini ialah Tersah Long, 77, dari Kampung Batu Lima; Korder Longgasa, 61, dari kampung sama; dan Normah Saad, 68, dari Kampung Pokok Asam Kayang.

Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan manifestasi komitmen berterusan MAIPs dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus diberi perhatian menerusi pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan masyarakat.

Pada masa sama, program berkenaan membantu memperkukuh budaya prihatin, semangat kebersamaan dan hubungan antara institusi dengan masyarakat setempat.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.