Kota Kinabalu – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, telah menamatkan lawatan kerja rasmi selama tiga hari di Sabah bersempena Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri Ke-37 Tahun 2025.
Keberangkatan pulang baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu telah diiringi oleh Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad, dan Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Dato’ Haji Noorrul Azril Ariffin.
Turut serta, Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Sepanjang berada di Sabah, Tuanku Raja Muda telah menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi SKAW 2025 yang berlangsung di The Magellan Sutera Harbour Resort. Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Sabah.
Baginda juga berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam di Sutera Harbour Jetty pada malam pertama keberangkatan, sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan anggota yang menyertai SKAW kali ini.
Antara pengisian sampingan menarik termasuk lawatan ke Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan pengalaman menaiki North Borneo Heritage Train dari Stesen Tanjung Aru ke Kinarut. Perjalanan singkat ini menyajikan panorama desa Sabah termasuk pesisir pantai, sungai dan kampung tradisional.
Tuanku Raja Muda turut berkenan melawat destinasi pelancongan tempatan seperti Pasar Kraftangan Kota Kinabalu (kini dikenali sebagai Anjung Kinabalu), Imago Shopping Mall dan lokasi lain yang popular dalam kalangan pelancong.
Sementara itu, Raja Puan Muda Perlis telah berkenan melawat Mari Mari Cultural Village di Inanam bersama anakanda dan delegasi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT). Lawatan ini memberi peluang menyelami warisan budaya lima suku kaum utama Sabah iaitu Kadazan-Dusun, Rungus, Lundayeh, Bajau dan Murut.
Pengunjung berpeluang menyertai aktiviti interaktif seperti penyediaan makanan tradisional, permainan rakyat dan seni mempertahankan diri serta menikmati persembahan kebudayaan yang unik.
Lawatan ini bukan sahaja mengukuhkan jalinan pertahanan melalui Askar Wataniah, malah turut memperkukuh pemahaman budaya dan potensi pelancongan Sabah dalam kerangka perpaduan dan integrasi nasional.