Solat Aidiladha Di Perlis Digalak Dilaksana Di Tanah Lapang

Solat Aidiladha Di Perlis Digalak Dilaksana Di Tanah Lapang

ARAU: Solat Aidiladha di seluruh negeri Perlis bagi tahun 1447H/2026M digalakkan dilaksanakan di tanah lapang atau musolla antara pukul 7.45 hingga 8.15 pagi, tertakluk kepada ketetapan Jawatankuasa Kariah masing-masing.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ketetapan itu dibuat setelah dipersembah maklum dan mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, pemilihan tanah lapang adalah selaras dengan Sunnah Rasulullah SAW, namun penggunaan ruang dalam masjid boleh dipertimbang sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan jumlah jemaah.
“Dalam keadaan cuaca buruk atau tidak sesuai, Solat Aidiladha akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada jam 8.15 pagi.
“Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada jam 7.45 pagi,” titah baginda dalam kenyataan yang termaktub di Istana Arau, hari ini.
Bagi Kariah Kota Raja Arau, Raja Perlis berkenan agar solat dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8 pagi, manakala jika cuaca tidak sesuai, solat akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri, Arau.
Tuanku Syed Faizuddin turut menasihati rakyat supaya mematuhi ketetapan berkenaan serta menjadikan Aidiladha sebagai madrasah pengorbanan demi kebaikan akhirat.
Baginda turut mengajak umat Islam merebut peluang berpuasa pada hari-hari sebelum raya serta membasahi lidah dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.
“Semoga ibadah korban kita semua diterima di sisi-Nya,” titah baginda.
Orang ramai yang mempunyai persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Aidiladha boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis di talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di laman Facebook MAIPs.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.