Oleh: Sholina Osman
11 JULAI 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pelajar sewajarnya berani menyuarakan pendapat secara bijaksana, berani menyatakan kebenaran walaupun tidak popular, dan berani menolak budaya ikut-ikutan yang tidak membawa manfaat’.
Baginda bertitah, para pelajar perlu berdiri teguh dengan prinsip, berani mengatakan “tidak” kepada perkara yang merugikan, dan memilih jalan yang benar walaupun sukar.
“Janganlah gentar untuk mencuba perkara baharu. Kegagalan bukanlah satu kekalahan, tetapi satu pelajaran yang sangat berharga. Ingatlah, ramai tokoh besar dunia pernah gagal berkali-kali sebelum mereka menemui kejayaan. Gagal hari ini bukan bermakna gagal selamanya”, titah Baginda lagi.
PROGRAM TITIAN KASIH
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 bagi peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, Beseri.
Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua SMK Tengku Suleiman, Medzerimi Mat.
Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus serta ketua penyelaras program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
MELIBATKAN 338 PELAJAR
Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan 338 pelajar lelaki dan 309 pelajar perempuan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 sekolah tersebut.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua Medzerimi Mat melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Beliau berkongsi bahawa dari segi pencapaian akademik, keputusan peperiksaan awam tahun lalu menunjukkan peningkatan yang membanggakan dari setahun ke setahun.
Bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah ini mencatatkan peratus kelulusan sebanyak 96.18 peratus dengan dua orang pelajar memperoleh semua A. Manakala bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekolah mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.87, meningkat sebanyak 0.01 berbanding tahun sebelumnya. Seramai empat orang pelajar berjaya memperoleh PNGK 4.00, pencapaian tertinggi dalam peperiksaan tersebut.
MENYERTAI PELBAGAI PERTANDINGAN
Dalam aspek kokurikulum pula, bagi sesi 2025, para pelajar aktif menyertai pelbagai pertandingan di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.
Antara pencapaian membanggakan termasuk kejayaan pasukan Persatuan Sejarah yang meraih tempat pertama dalam Pertandingan Kuiz Sejarah peringkat negeri, sekali gus melayakkan diri mewakili Negeri Perlis ke peringkat kebangsaan.
Selain itu, dua orang atlet memanah sekolah telah mewakili Negeri Perlis ke Kejohanan Memanah Tradisional peringkat kebangsaan, di mana Muzammil Zairi Mumtaz dinobatkan sebagai johan bagi kategori 17 tahun.
Dalam sukan catur pula, seorang pelajar dari SMK Tengku Suleiman telah mewakili negeri ke Kejohanan Catur MSSM baru-baru ini.
CEMERLANG DALAM AKADEMIK
Pencapaian ini membuktikan bahawa para pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut menyerlah dalam pembangunan sahsiah, kepimpinan dan aktiviti kokurikulum.
Pengetua turut menekankan usaha sekolah dalam memperkasakan pembelajaran digital seiring perkembangan teknologi semasa.
Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk bilik darjah pintar serta pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi seperti Google Classroom dan platform DELIMA yang digunakan oleh semua tingkatan di sekolah ini.
PERASMIAN DAISY CAFE
Raja Muda turut berkenan menyempurnakan perasmian Daisy Cafe yang merupakan pusat bertauliah khas untuk murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang menawarkan kursus Kemahiran Vokasional Spesifik (KVS) Asas Sajian Makanan satu-satunya di Perlis.
Seramai 17 orang murid dilatih mengikut piawaian Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan Bahan Instrumen Bertulis (WIM), dan akan dinilai oleh Pegawai Penilai Luar untuk menerima Sijil Pencapaian JPK.
Dibuka sejak sesi 2025, cafe ini dikendalikan oleh guru bersama murid, menawarkan latihan praktikal seperti menyambut tetamu, servis makanan dan tugasan pramusaji.
Buat masa ini, ia dibuka khusus untuk guru dan staf dengan pelbagai menu seperti kopi, mi kari, laksa, kek dan pastri. – JM