16 Julai 2025 | Seri Kembangan, Selangor
Seramai 120 peserta dari seluruh negara telah menyertai Pertandingan Golf Amal Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis. Pertandingan ini berlangsung meriah di The Mines Golf & Country Resort, Seri Kembangan, Selangor pada Ahad lalu.
Program anjuran Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Jubli Perak, malah turut bertujuan mengumpul dana bagi menyokong inisiatif bantuan institusi kekeluargaan dan pembangunan pendidikan di negeri Perlis.
Kejohanan dijalankan dalam format 18 lubang (18 Holes), sistem Stableford, Handicap of the Day dan bermula secara Shotgun Start.
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang terkenal dengan keperibadian mesra rakyat telah berangkat mencemar duli sejak awal pagi bagi sesi ramah mesra, sarapan bersama para peserta dan bergambar kenangan. Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang utama sewaktu majlis santapan tengah hari.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat mengiringi ayahanda Baginda dalam majlis penuh berprestij tersebut.
Bagi kategori ‘Overall’, juara dimenangi oleh Mohamad Fauzan Md Isa, diikuti Mohd Hafiz Mohd Said (naib johan) dan Datuk Azrul Nizam Abdul Aziz (tempat ketiga).
Manakala bagi Kategori A, Tuanku Raja Muda telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang:
• Juara – Norazmi Akob
• Naib Johan – Mohd Aminuddin Mohd Azman
• Ketiga – Mohd Sahal Saedin
Pertandingan ini membuktikan komitmen berterusan Institusi Diraja Perlis dalam mendukung usaha kebajikan dan pembangunan rakyat melalui sukan sebagai wadah penyatuan dan solidariti.