17 Julai 2025 | Kuala Lumpur — Keindahan panorama malam ibu negara diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama keluarga dalam program Ronda-Ronda Kuala Lumpur melalui perkhidmatan pelancongan popular KL Hop-On Hop-Off.
Turut mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn. Bhd., Syed Azhar Syed Nadzir.
Program tersebut membolehkan Duli-Duli Tuanku sekeluarga menikmati pengalaman eksklusif menaiki bas dua tingkat KL Hop-On Hop-Off yang mengelilingi ibu kota pada waktu malam, dengan laluan merangkumi lokasi ikonik seperti KLCC, Bukit Bintang, Dataran Merdeka, dan Pasar Seni.
KL Hop-On Hop-Off merupakan antara produk pelancongan utama di Kuala Lumpur yang menawarkan fleksibiliti kepada pelancong dengan lebih 27 hentian strategik, tiket sah selama 24 atau 48 jam, panduan audio pelbagai bahasa, serta kemudahan mesra pengguna yang menjadikannya pilihan ideal untuk meneroka bandar raya ini secara santai.
Bas ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang untuk lawatan siang, manakala sesi lawatan malam berlangsung dari jam 8 malam hingga 10 malam, dikenali sebagai “KL City of Lights Night Tour”.
Program malam itu diakhiri dengan santapan istimewa di Warong Dollah Pindah, Sentul, di mana Duli-Duli Tuanku sekeluarga menikmati juadah tempatan dalam suasana santai dan mesra rakyat.