21 Julai 2025 | Kuala Lumpur
Keluarga Diraja Jamalullail Perlis mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan seramai 88 orang ahli kerabat dalam satu acara amal gilang-gemilang sempena Majlis Dirgahayu Tuanku: Mendaulat Warisan Legasi Bonda yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.
Kejayaan itu melayakkan mereka disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai keluarga diraja pertama yang berjaya menghimpunkan jumlah kehadiran tertinggi dalam satu acara kebajikan. Pengiktirafan ini turut menghargai semangat kesukarelawanan dan komitmen luar biasa keluarga diraja dalam memperkasa agenda kebajikan serta menyemai nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Majlis penuh adat dan kemegahan itu disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta para kerabat diraja termasuk Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Acara bersejarah ini dianjurkan oleh Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional, bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang memukau, mencerminkan kepelbagaian seni tempatan dan antarabangsa — termasuk tarian hula, tap, Bollywood, persembahan solo biola, pertunjukan fesyen jenama eksklusif ‘Khatreena’, serta nyanyian koir medley lagu-lagu Michael Jackson dan ABBA.
Lagu khas “Naungan Tuanku” diperdendangkan sebagai penghormatan istimewa, manakala persembahan penutup “Can’t Help Falling in Love” menyentuh emosi hadirin dan menyemarakkan semangat kekeluargaan diraja.
Dalam titah penutup, Tuanku Raja menzahirkan rasa bangga atas kerjasama dan komitmen semua kerabat yang menjayakan majlis bersejarah ini. Baginda turut menasihati agar nama baik keluarga diraja Jamalullail terus dipelihara dan dihormati hingga ke generasi mendatang.