NAIROBI, 26 Julai 2025 – Tanaman kenaf yang banyak diusahakan di Perlis dan utara Semenanjung Malaysia dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk diperluaskan ke Kenya, menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi, TYT Ruzaimi Mohamad.
Kenyataan tersebut dibuat semasa lawatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, bersempena misi ‘Safar Ilmi MAIPs 2025’ ke negara Afrika Timur tersebut.
Turut mengiringi Baginda berdua ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta Setiausaha Kedua Pejabat Suruhanjaya, Syarafina Adilah Ahmad Nasir.
Menurut TYT Ruzaimi, kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus adalah tanaman tahan lasak dan rendah keperluan air, menjadikannya sesuai ditanam di kawasan separa gersang seperti Kenya yang menerima hujan tahunan pada kadar rendah.
“Malaysia, khususnya Perlis, merupakan antara pengeluar utama anak benih kenaf. Tanaman ini mempunyai pelbagai kegunaan – bukan sahaja sebagai tanaman penutup bumi, malah berpotensi besar dalam sektor industri dan pertanian,” ujar beliau.
Kenaf boleh dituai dalam tempoh 4–5 bulan sebagai makanan ternakan, manakala tanaman yang dituai dalam 6–8 bulan menghasilkan gentian yang boleh digunakan dalam pembuatan perabot dan produk biofiber.
Dalam sesi tersebut, turut diperkenalkan ialah produk hiliran kenaf termasuk cendawan sisir yang ditanam menggunakan bongkah kayu kenaf oleh syarikat Ecospora Utara yang beroperasi di Pusat Industri Kenaf, Chuping, Perlis.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim memaklumkan, MAIPs bersama Ecospora dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Perlis sedang meneliti pelaksanaan projek ekonomi asnaf menerusi penanaman kenaf dan aktiviti hiliran di kawasan Batu Bertangkup.
“Inisiatif ini adalah susulan lawatan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dato’ Yusran Shah baru-baru ini,” katanya.
Lawatan diraja turut diserikan dengan promosi masakan tradisional negeri Perlis, Kurma Daging Perlis, yang disediakan khas untuk tetamu kenamaan dan kakitangan Suruhanjaya, hasil kerjasama antara MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).