RAJA MUDA PERLIS: TVET TERAS TRANSFORMASI EKONOMI DIGITAL NEGERI

30 Julai 2025 | Pauh Putra —

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa generasi masa depan perlu memiliki pemikiran yang tangkas, adaptif dan melangkaui sempadan silibus tradisional, khususnya dalam mendepani dunia yang dipacu teknologi.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), baginda menzahirkan keyakinan bahawa golongan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi antara pemacu utama transformasi ekonomi negeri dan negara, terutama dalam sektor ekonomi digital, automasi industri dan teknologi pintar.

Baginda bertitah demikian sempena program MAIPs Peduli anjuran bersama MAIPs dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Pauh Putra, baru-baru ini.

Tuanku Raja Muda turut menyeru agar institusi seperti politeknik, kolej komuniti dan penyedia TVET lain di Perlis memperkukuh kerjasama dengan pihak industri, bukan sekadar dalam bentuk hubungan formal, tetapi perkongsian strategik yang mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia untuk cabaran dunia sebenar yang dikuasai oleh teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Baginda turut berpesan kepada anak-anak Perlis agar sentiasa mengingati asal-usul dan kembali menyumbang kepada tanah kelahiran, kerana walaupun tindakan kecil seperti ceramah, bengkel atau projek digitalisasi di kampung mampu membawa impak besar kepada masyarakat setempat.

Program Istimewa dan Komitmen Lestari

Edisi kali ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail bersama barisan kepimpinan tertinggi serta pengarah-pengarah POLYCC dari seluruh negara. Baginda diiringi oleh Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Sebagai simbol komitmen terhadap kelestarian, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan menyempurnakan penanaman pokok di bawah inisiatif Program Penghijauan Malaysia: Kempen 100 Juta Pokok sempena pelancaran Kampus Lestari PTSS, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Sumbangan Kepada Asnaf dan Inisiatif Spa Pelajar

Dalam kayuhan amal sempena program tersebut, baginda turut berkenan menyantuni tiga keluarga asnaf dengan sumbangan wang tunai RM700 setiap seorang, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah. Mereka yang menerima sumbangan ialah Hasnah Husain (64), Jaafar Albar Hamid (68) dan Abu Bakar Mat Had (67) dari Kampung Baru Ulu Pauh.

Program ini turut menyaksikan lawatan baginda ke fasiliti Kencana Sari Spa, sebuah projek inovatif yang diusahakan oleh pelajar dan tenaga pengajar Program Diploma Hotel dan Resort PTSS, yang menyediakan perkhidmatan spa, rawatan wajah, manikur dan pedikur kepada komuniti.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content