KANGAR, 1 Ogos 2025 – Pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas penting dalam membentuk generasi masa depan yang yakin, berdaya saing dan cemerlang, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Titah Baginda, pendidikan awal bukan sahaja membantu menyediakan anak-anak menghadapi alam persekolahan dengan lebih berkesan, malah turut mencorakkan kemahiran sosial mereka melalui interaksi positif bersama rakan sebaya dan guru.
“Sebuah pusat pendidikan yang berkualiti menyediakan persekitaran selesa dan harmoni, yang akan menyemai minat belajar serta menyokong perkembangan intelektual secara menyeluruh,” titah Baginda ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Biasiswa Seorang Anak Sebesar Harapan (One Child One Hope – OCOH) 2025 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bersama Kumpulan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., di Taman Buah-Buahan Eksotik Negeri Perlis, Sungai Batu Pahat.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Smart Reader Worldwide, Datuk Sri Dr. Richard Ong bersama Pengarah Eksekutif, Kevan Ong dan Keefe Ong serta Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Richard menyatakan bahawa program biasiswa OCOH merupakan inisiatif murni untuk memberi akses pendidikan awal berkualiti kepada kanak-kanak kurang berkemampuan.
“Sejak dilancarkan, lebih 600 kanak-kanak telah menerima manfaat dengan nilai sumbangan melebihi RM2.5 juta di seluruh negara. Program ini turut memperkukuh peranan institusi seperti YTSP Perlis dalam pembangunan pendidikan akar umbi,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik cek biasiswa berjumlah RM60,000 daripada Smart Reader kepada YTSP Perlis, selain penyampaian peralatan persekolahan kepada sembilan pelajar terpilih.
Sebagai simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh akses pendidikan awal di negeri ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Smart Reader Worldwide dan Arau Child, disaksikan oleh Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda.
Penganjuran majlis ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dilihat sebagai lonjakan positif ke arah memperkasa pendidikan awal kanak-kanak, selaras dengan visi negeri dan negara dalam melahirkan modal insan yang unggul dan berjiwa besar.