Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamullail menitahkan bahawa seluruh rakyat negeri Perlis perlu menjadi individu, keluarga dan komuniti yang prihatin serta mengambil berat terhadap status kesihatan diri dan keluarga.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Karnival Sihat Milik Semua 2025 pada peringkat negeri Perlis bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis yang berlangsung di Dewan 2020, hari ini.
Baginda bertitah, penjagaan kesihatan perlu dilakukan secara berterusan dengan sokongan pelbagai pihak menerusi pendekatan yang lebih terancang.
“Walau bagaimanapun perlu dilaksanakan program intervensi berstruktur yang boleh membimbing masyarakat dengan kerjasama semua agensi ke arah mencapai hasrat Perlis Sihat Sejahtera”, titah baginda.
Sementara itu, selari dengan pelaksanaan inisiatif Perlis Go-Digital, baginda turut menzahirkan harapan agar semua perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan kerajaan dapat digembleng sepenuhnya untuk menyokong agenda kesihatan negeri secara lebih menyeluruh.
Selain itu, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut menekankan kepentingan teknologi dalam memperkasakan sistem penjagaan kesihatan pada masa ini.
“Di bawah pelaksanaan inisiatif ini, rekod perubatan individu pada masa akan datang boleh diakses dengan pantas menerusi aplikasi bersepadu, sekali gus memudahkan perancangan penjagaan kesihatan secara lebih efisien dan holistik,” titah baginda lagi.
Turut mengiringi baginda dalam majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad serta barisan kepimpinan jabatan kesihatan negeri dan persekutuan.