Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan YTSP Perlis
14 OGOS 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kecemerlangan bukan hanya diukur berdasarkan apa yang kita capai untuk diri sendiri, tetapi juga pada apa yang kita mahu dan mampu sumbangkan kepada orang lain.
Titah Baginda jadilah generasi yang membanggakan, bukan setakat pada nama, tetapi pada tindakan dan budi pekerti.
Baginda bertitah, sesuai dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 yang bakal disambut beberapa hari lagi, horizon pemikiran golongan pelajar hendaklah sentiasa terbuka agar mampu melihat dunia dengan pandangan yang lebih luas dan matang.
Selain itu titah Baginda mereka perlu membina keyakinan untuk memimpin, bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan teladan dan tindakan, mengukuhkan jati diri supaya tidak hanyut dengan arus yang melemahkan generasi muda dan menanamkan semangat cintakan negeri dan negara.
PEMBINAAN JATI DIRI
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self-Esteem Development) Untuk Pelajar Terbaik serta Pengawas Terpilih Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Perlis Tahun 2025 di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, Pulau Pinang.
Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda putera Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
Turut hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat, Noor Aeiza Hassan.
SELAMA TIGA HARI
Bengkel yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Ogos 2025 ini dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Yayasan Bank Rakyat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang melibatkan seramai 103 orang pelajar yang terpilih.
Selama tiga hari bengkel ini berlangsung, para peserta disajikan dengan pelbagai pengisian bermanfaat dan aktiviti menarik, termasuk perkongsian serta aktiviti berkumpulan berkaitan Motivasi Pembelajaran, Kefahaman Perlembagaan dan Pemerintahan Negara Malaysia, Nilai-nilai Murni Rakyat Malaysia, Forum Ke Arah Masa Depan Kerjaya yang Cemerlang, Peningkatan Kualiti Kepimpinan, serta Kerja Berkumpulan Berteraskan Kepimpinan.
Baginda berdua turut berkenan mengetuai sambutan menjelang Hari Kebangsaan negara yang ke-68 yang bakal tiba, dengan menyanyikan Lagu Warisan dan Jalur Gemilang, disusuli laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali, sebelum diakhiri dengan nyanyian penuh semangat Lagu Negaraku.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar setiap pelajar yang menyertai bengkel ini menjadikan nilai disiplin, kejujuran, hormat -menghormati dan tanggungjawab sebagai asas dalam setiap tindakan. – JM