ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru setiap usahawan di negeri ini agar dapat melunaskan sebarang tunggakan hutang mereka kepada pihak yang berhak bagi meraih keberkatan dalam perniagaan.
Baginda bertitah, dalam menjalankan perniagaan, setiap pihak perlu sentiasa berpegang kepada syariat ditetapkan oleh agama dengan sentiasa mempunyai rasa takut dan taqwa kepada Allah SWT.
Titah baginda, selain itu, usahawan yang memperoleh dana pembiayaan dan peluang perniagaan juga diharap dapat mengunakan manfaat diberikan itu dengan penuh intergriti serta tanggungjawab.
“Gunakan peluang yang diberikan itu dengan sebaiknya bagi mengembangkan perniagaan dan elakkan daripada menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak ketiga yang tidak sewajarnya,” titah baginda merasmikan Majlis Penutupan Program Taklimat Usahawan Negeri Perlis di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Kangar (MPK), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil dan Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, perniagaan yang dibina mampu berkembang secara mampan dan memberi manfaat jangka panjang sekiranya para usahawan mengamalkan pengurusan yang telus dan beretika.
“Saya yakin bahawa sikap disiplin, pemikiran kreatif dan kritis serta perancangan kewangan teliti bersama dengan ilmu pengetahuan kukuh merupakan kunci utama untuk memastikan kelestarian dan kejayaan sesebuah perniagaan di Perlis,” titah baginda.
Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, untuk terus maju dan berdaya saing, usahawan di negeri ini juga perlu sentiasa cakna dengan perkembangan ekonomi global, memahami kehendak pasaran secara mendalam dan bersedia untuk meneroka peluang-peluang baharu seiring perubahan dinamik dunia hari ini.
Baginda bertitah, dengan pendekatan ini, usahawan negeri ini dapat membina perniagaan yang bukan sahaja relevan, tetapi juga mampu berkembang maju dalam jangka masa panjang.
“Di samping itu, saya juga berharap agar MPK terus memainkan peranan penting dalam membantu usahawan di negeri ini dan memperbanyakkan penganjuran program-program pendidikan atau kesedaran kepada usahawan kita,” titah baginda.-UTUSAN