Agrobank Serah Geran iTEKAD RM100,000 Bantu Usahawan Tani Asnaf & B40

CHUPING 17 Ogos 2025 – Agrobank terus komited memperkasakan golongan asnaf dan B40 melalui penyerahan geran ITEKAD berjumlah RM100,000 kepada 20 usahawan tani terpilih bagi melaksanakan projek penanaman nanas MD2 di Chuping dekat Padang Besar semalam.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata 20 peserta terdiri daripada golongan B40 dan veteran tentera menerima geran sebanyak RM5,000
seorang bagi menyokong pembelian peralatan tambahan untuk mengusahakan lot tanah seluas 2.02 hektar yang disewa daripada Felda Global Ventures (FGV).

“Projek ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Agrobank dan Aqina Fruits Sdn Bhd yang turut melibatkan pelaksanaan projek tanaman nanas di beberapa lokasi lain iaitu di Beaufort dan Pekoti.

“Bagi projek di Chuping dan Beaufort jumlah peruntukan masing-masing adalah RM6 juta manakala projek di Pekoti menerima peruntukan tertinggi RM12 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata secara keseluruhan, kolaborasi antara Agrobank dan Aqina Fruits menerusi projek ladang kontrak di bawah model B40 itu menerima peruntukan dana RM24 juta.

Beliau berkata sebagai institusi kewangan pembangunan, Agrobank menyediakan
kemudahan pembiayaan hingga RM280,000 bagi setiap peserta projek penanaman nanas untuk menampung modal permulaan.

Beliau berkata projek penanaman nanas
MD2 itu adalah antara usaha berterusan perbankan berkenaan dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi komuniti khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

“Selain itu, ia juga berperanan merangsang pertumbuhan sektor pertanian dan meningkatkan pengeluaran nanas negara bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan serta potensi eksport ke luar negara,” katanya.

Berangkat menyaksikan majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata melalui inisiatif iTEKAD, beberapa program telah diperkenalkan seperti Pembiayaan Usahawan Mikro MAINJ, Rakan Ladang BERNAS, Skim Tanam Semula Kelapa Sawit serta Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan.

Beliau berkata program itu memberi tumpuan kepada pembangunan sosial usahawan dalam kalangan golongan asnaf dan B40 melalui gabungan tiga komponen utama termasuk penyediaan modal awal, pembiayaan mikro dan latihan kewangan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content