Tuanku Syed Faizuddin titah tolak budaya buli

KANGAR, 21 Ogos – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menasihatkan masyarakat agar menjauhkan diri daripada amalan buli dan menjadikan sikap saling menghormati serta empati sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

Baginda bertitah, kelemahan individu tidak seharusnya dijadikan bahan ejekan atau hiburan, sebaliknya perlu diberikan kata-kata semangat yang mampu menyuntik keyakinan diri mereka.

“Dengan menolak budaya buli dan mengamalkan nilai hormat serta empati, kita dapat membina suasana yang lebih harmoni, selamat dan sejahtera untuk semua,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa Majlis Santapan Negeri sempena Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-65 Tahun 2025, yang dihoskan oleh Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020, di sini, pada Rabu.

Kejohanan olahraga kali ini berlangsung meriah di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra bermula 18 Ogos hingga 24 Ogos, melibatkan penyertaan seramai 1,440 atlet dan 320 pegawai daripada 16 kontinjen seluruh negara.

Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 15 Tahun dan Bawah 18 Tahun. Menariknya, edisi kali ini turut memperkenalkan acara lari berganti-ganti campuran, yang menyaksikan penyertaan atlet lelaki dan perempuan dalam satu pasukan.

Inovasi itu dilihat bukan sahaja menyuntik kelainan, malah memberi dimensi baharu dalam penganjuran kejohanan berprestij tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan harapan agar kejohanan ini bukan semata-mata menjadi medan persaingan, tetapi juga platform untuk mempererat ukhuwah, menyemarakkan semangat kesukanan dan melahirkan bakat-bakat baharu yang boleh mengharumkan nama negeri serta negara.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda putera Waris Negeri Perlis, Yang Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content