KANGAR, 23 Ogos 2025 – Masjid Sirajuddin di Kampung Padang Pauh, dekat sini, bakal menjalani projek naik taraf menyeluruh bermula 27 Ogos ini bagi meningkatkan keselesaan jemaah serta memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.
Projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) itu dijadualkan siap pada 11 Februari 2026. Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, hari ini berkenan menunaikan solat Jumaat terakhir di masjid berkenaan sebelum ia ditutup bagi kerja-kerja pembaikan. Baginda turut berkenan mendengar sembah taklimat projek daripada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor. Naik taraf itu dijangka bukan sahaja memperkukuh struktur bangunan dan kemudahan sedia ada, malah turut mengangkat martabat masjid berusia 55 tahun itu sebagai pusat tumpuan umat Islam sekitar Padang Pauh dan kawasan berhampiran.
Masjid Sirajuddin yang dinamakan sempena Raja Perlis kini, mula dibina pada 1 Januari 1970 dan sejak awal penubuhannya menjadi antara masjid utama di daerah Kangar, selain berperanan penting sebagai pusat pengajian al-Quran, pendidikan agama dan himpunan masyarakat setempat.
Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran MAIPs di masjid sama dengan diiringi putera Baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih. Para penerima turut berpeluang mengikuti ceramah motivasi bertajuk “Bangun Jiwa Asnaf” yang dianjurkan pihak MAIPs.