PUTRAJAYA, 28 Ogos 2025 – Persekutuan Wanita Profesional dan Perniagaan (BPW) Malaysia telah berjaya menganjurkan Persidangan BPW Asia Pasifik 2025 dan Simposium BPW Muda Asia Pasifik ke-4 yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Ogos di Le Meridien Hotel, Putrajaya.
Acara berprestij ini menghimpunkan ratusan pemimpin wanita, usahawan serta profesional dari seluruh rantau Asia Pasifik dengan matlamat memperkukuh jaringan serantau, berkongsi amalan terbaik serta merangka strategi memperkasa peranan wanita dalam dunia profesional dan pembangunan komuniti global.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran puteri sulung kepada Tuanku Raja Muda Perlis, Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah binti Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang berangkat ke Majlis Makan Malam Gala persidangan tersebut.
95 Tahun BPW International
Persidangan kali ini lebih bermakna kerana ia turut meraikan ulang tahun ke-95 penubuhan BPW International pada 26 Ogos 2025 – satu pencapaian bersejarah dalam perjuangan memperjuangkan hak, peluang dan kepimpinan wanita di peringkat antarabangsa.
Sepanjang tiga hari persidangan, pelbagai pengisian bermanfaat dilaksanakan termasuk sesi pleno, ucaptama daripada tokoh antarabangsa, bengkel interaktif, forum kepimpinan serta platform rangkaian perniagaan dan kerjaya.
Fokus Kepada Generasi Muda
Satu lagi nilai tambah persidangan ialah Simposium BPW Muda Asia Pasifik, yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat kepimpinan generasi wanita muda di rantau ini. Platform ini dilihat penting bagi membentuk pelapis yang mampu meneruskan agenda kepimpinan wanita dalam era globalisasi dan digitalisasi.
Wanita Sebagai Agen Perubahan
Dengan bertemakan “Empowering Women, Empowering the World”, persidangan ini diyakini bukan sahaja menjadi sumber inspirasi, malah pemangkin semangat kepada para peserta untuk terus menerajui perubahan positif dalam bidang kerjaya, keusahawanan, kepimpinan serta pembangunan komuniti.
Acara ini sekali gus membuka peluang kerjasama rentas negara, mengukuhkan solidariti serantau serta menampilkan wanita sebagai agen perubahan yang berwibawa dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan progresif.