Pauh – Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 negara tahun ini, nilai saling percaya, hormat-menghormati dan tolong-menolong mesti terus menjadi tonggak utama yang mengukuhkan ikatan kemasyarakatan seluruh umat di Perlis.
“Kehidupan bermasyarakat di negeri ini hendaklah kekal utuh, mewujudkan persekitaran yang mesra, selamat dan penuh rasa kebersamaan.”
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan Jalur Gemilang 2025 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Padang Siding, Pauh, baru-baru ini.
Berangkat sama mengiringi baginda ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Program kayuhan amal ini yang disekalikan dengan aktiviti MAIPs Peduli bukan sahaja menjadi wadah menyantuni rakyat serta meringankan beban mereka yang memerlukan, malah turut memperkukuh nilai ukhuwah, semangat keprihatinan dan budaya saling membantu dalam kalangan umat Perlis, khususnya golongan asnaf.
Pada masa yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis mahu umat negeri ini menyeimbangkan antara tuntutan pekerjaan dengan kehidupan peribadi.
Titah baginda, “Dari sudut pekerjaan, keseimbangan tahap produktiviti kerja yang efisien serta produktif dalam kehidupan menjadi keutamaan.”
“Waktu pejabat yang teratur serta jarak tempat kerja yang dekat dengan kediaman seharusnya memberikan ruang yang cukup kepada umat di Perlis untuk mempunyai lebih masa berkualiti bersama-sama keluarga, selain terlibat dalam aktiviti riadah dan kemasyarakatan,” titah baginda.
Tuanku Raja Muda Perlis menekankan bahawa umat Perlis perlu berusaha mencari masa untuk memanfaatkan pusat rekreasi, taman awam serta kemudahan sukan sedia ada supaya menjadi pilihan bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat.
“Amalan hidup sederhana dan harmoni terus dipelihara sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan di negeri ini,” titah baginda.
Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga orang penerima asnaf terpilih pada kali ini, iaitu Zulkhibri Musa, 48, dari Kampung Padang Siding; Che Yah Mat Saman, 82, dari Kampung Padang Ringan; serta Timah Saad, 81, dari Kampung Rambai.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menyantuni penerima asnaf.
Setiap penerima asnaf menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 berserta Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah sebagai tanda keprihatinan serta sokongan berterusan pihak MAIPs.