Kangar, 10 September – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Bukit Chabang yang sekian lama tergendala, dilaksanakan secara serentak bagi Fasa 1 dan Fasa 2.
Baginda menegaskan, langkah itu penting bagi mengelakkan masalah apabila sekolah mula beroperasi kelak, khususnya dari aspek keselamatan pergerakan keluar masuk kenderaan berat serta kerja-kerja kontraktor yang boleh menjejaskan suasana pembelajaran.
“Pelaksanaan serentak kedua-dua fasa ini akan memberi manfaat jangka panjang, menjamin keselamatan pelajar, kelancaran operasi sekolah apabila dibuka, serta mengelakkan pembaziran masa dan kos,” titah Baginda dalam majlis menghadap Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Kulliyyah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Kangar.
Pusat Kecemerlangan Zon Utara
SSM Perlis yang bakal menampung seramai 624 pelajar apabila siap sepenuhnya, dirancang sebagai pusat kecemerlangan sukan zon utara. Fokus awal melibatkan enam acara utama iaitu badminton, bola sepak, bola jaring, olahraga, memanah dan sepak takraw.
Bagi Fasa 2, beberapa sukan tambahan turut dipertimbangkan termasuk hoki, ragbi, golf dan boling padang bagi memperluas pilihan, selain membuka peluang pengumpulan pingat di pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Model Sekolah Sukan Terbaik
Tuanku Raja Muda turut menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar membuat semakan menyeluruh terhadap aktiviti dan program yang dilaksanakan di lima buah sekolah sukan sedia ada di zon lain.
“Sebarang kelemahan atau kekurangan (jika ada) boleh ditambah baik dan diterapkan di SSM Perlis supaya sekolah baharu ini benar-benar muncul sebagai model terbaik dalam aspek pembangunan bakat sukan muda negara,” titah Baginda.
Baginda turut berkenan agar nilai tambah diterapkan di SSM Perlis seperti program kemahiran TVET, persijilan profesional meliputi bidang kejurulatihan dan pengadilan, serta budaya menganjurkan pertandingan secara berkala.
Menurut Baginda, usaha itu bukan sahaja akan melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah memastikan para pelajar mempunyai laluan kerjaya lebih luas selepas bersara daripada arena sukan kompetitif.
Kerjasama Strategik
Dalam pada itu, Baginda juga menyarankan SSM Perlis menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian dan agensi berhampiran seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Belia dan Sukan.
Kerjasama itu diyakini dapat menjamin keberkesanan pengurusan, memantapkan program pembangunan sukan, serta menjimatkan kos operasi.
“Sekolah Sukan Malaysia Perlis bukan sahaja bakal menjadi mercu tanda baharu dalam pembangunan sukan negara, malah diharap menjadi platform melahirkan generasi pelapis yang seimbang, bukan sahaja dari segi pencapaian atletik tetapi juga akademik, sahsiah dan kemahiran hidup,” titah Baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar kecemerlangan sukan di negeri Perlis dapat terus diperkasa demi masa depan generasi muda.