September 2025 Chuping
Islam memuliakan orang berilmu dengan kedudukan yang tinggi, maka jadikanlah gedung pengajian baik sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai taman ilmu dan menimba pengetahuan sebagai amalan sepanjang hayat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, golongan pelajar di negeri ini disarankan agar rajin belajar serta terus menuntut ilmu kerana hanya dengan ilmu kita mampu membezakan kebenaran daripada kesilapan serta menegakkan yang hak.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Chuping, hari ini.
Kayuhan amal dan dakwah
Program kayuhan berbasikal yang menjadi identiti MAIPs ini bukan sahaja menyalurkan sumbangan zakat terus ke kediaman penerima, malah turut menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa dakwah dan kebajikan boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara kreatif, sekali gus menyampaikan mesej bahawa MAIPs sentiasa prihatin serta dekat di hati umat,” titah Baginda.
Pada edisi kali ini, Baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada tiga penerima terpilih iaitu:
Azwan Arzali, 37, dari Kampung Perik,
Mohd Rizuan Sulaiman, 39, dari Kampung Chelong, dan
Itam Ishak, 78, juga dari Kampung Chelong.
Lawatan ke Warisan D’Perun Homestay
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan berangkat melawat Warisan D’Perun Homestay yang terletak di No. 2A, Jalan Kubang Perun, Chuping, bersempena promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.
Homestay ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya bilik berhawa dingin, televisyen pintar, sambungan WiFi percuma, ruang tamu selesa, dapur dengan kelengkapan memasak, ruang parkir luas, dua bilik tidur berkatil ‘queen’ serta kolam renang mesra kanak-kanak dan keluarga.