Hari Malaysia di Jakarta: Perpaduan dan Masakan Perlis Diangkat ke Pentas Nusantara

20 September 2025, Jakarta – Suasana penuh semangat patriotik mewarnai sambutan Hari Malaysia yang diraikan bersama oleh peserta International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Restoran Mama Melaka, Jakarta. Program ini berlangsung dalam kerangka Promosi Masakan Perlis yang mengetengahkan juadah istimewa negeri Indera Kayangan, sekali gus mengangkat keunikan budaya Malaysia ke mata masyarakat serantau.

Titah Perpaduan Raja Muda Perlis

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang menegaskan bahawa perpaduan tidak boleh sekadar menjadi slogan atau bait indah dalam lagu.

“Perpaduan wajar dijadikan cara hidup yang sebati dalam sanubari setiap rakyat. Ia lahir daripada rasa saling menghormati, memahami, serta menghargai antara satu sama lain,” titah baginda.

Baginda menekankan bahawa nilai itu mesti dizahirkan melalui tindakan nyata – toleransi, kerjasama, dan penerimaan terhadap kepelbagaian sebagai kekuatan. Hanya dengan menjadikan perpaduan budaya hidup, kata Tuanku, masyarakat akan tampil lebih harmoni, adil dan saling melengkapi dalam menghadapi cabaran bersama.

Lebih jauh, perpaduan turut disifatkan sebagai tunjang kekuatan negara yang mengikat rakyat sebagai anak watan berjiwa besar. “Apabila ikatan perpaduan terjalin erat, rakyat bukan sahaja memelihara keharmonian tanah air, malah berupaya mengangkat martabat bangsa di pentas dunia,” titah baginda lagi.

Promosi Masakan Perlis & Tahun Melawat Perlis

Acara kempen ini mengetengahkan menu khas “Kurma Daging Perlis” yang disajikan dengan kerjasama:

– UniMAP
– Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis
– Yayasan Tuanku Fauziah (YTF)
– BMC Travel
Program turut mengangkat kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026 dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berkenan berangkat bersama delegasi UniMAP. Kehadiran baginda disambut mesra oleh Ibu Chisselly, Pengurus Pemasaran Restoran Mama Melaka, serta Chef Mohd Kadek.

Restoran yang beroperasi sejak 1995 itu kini memiliki empat cawangan di Jakarta, termasuk Wisma46 Sudirman, Telkom Landmark, Tower Gatot Subroto, dan Patrajasa sebagai cawangan utama, dengan kapasiti 70 orang.

Kehadiran Diplomat Malaysia

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, serta Pengarah Education Malaysia Indonesia (EMI), Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.

Datuk Syed Mohamad Hasrin memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta merupakan antara misi diplomatik terbesar Malaysia di rantau ASEAN, yang menempatkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung, termasuk Wisma Putra, Kementerian Pertahanan, MITI, Tourism Malaysia, MATRADE, JAKIM, dan Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN.

“Kehadiran agensi-agensi ini membolehkan Kedutaan memainkan peranan komprehensif dalam memperkukuh hubungan dua hala dari aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan, dan kebudayaan,” jelas beliau.

Puisi & Pantun Patriotik

Selain promosi kulinari, majlis turut diserikan dengan pembacaan puisi, pantun dan sajak patriotik oleh peserta delegasi UniMAP, yang menyalakan semangat cintakan tanah air di perantauan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.