Raja Muda Perlis: Tingkat Kesedaran Bendung Penipuan

KANGAR, 23 September 2025 – Kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan perlu sentiasa diperkasa bagi menghalang kegiatan ‘scammers’ daripada terus berleluasa. Penipuan, tegas Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bukan sahaja membawa kerugian kewangan, malah boleh meruntuhkan keharmonian keluarga dan merapuhkan ikatan komuniti.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Bintong, dekat sini, baru-baru ini.

Program berbentuk kayuhan amal itu menjadi medium penting mendekati masyarakat, khususnya dalam menyantuni golongan asnaf. Selain riadah berbasikal, ia turut membuka ruang penyampaian bantuan secara langsung, di samping memperkenalkan inisiatif MAIPs yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dalam kesempatan itu, Tuanku Syed Faizuddin selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada penerima terpilih. Antara penerima kali ini ialah Noraini Othman, 75; Siti Ajar Mohamad, 93; dan Siti Rukiah Haji Karim, masing-masing dari Kampung Telok Jambu.

Seiring usaha mempromosikan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026, Baginda turut berkenan singgah melawat Shais Homestay di Kampong Nesam, sebuah inap desa moden bercirikan reka bentuk kontemporari. Homestay tersebut menawarkan kediaman selesa dilengkapi penghawa dingin, ruang tamu mesra keluarga, dan panorama hijau desa yang mendamaikan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.