28 September 2025, Medan (Indonesia) – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menziarahi Masjid Taj’ul Madras di Desa Kelurahan Madras Hulu, Medan Polonia, sempena rangkaian lawatan baginda ke Sumatera Utara.
Dalam kesempatan itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan fi sabilillah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyokong aktiviti dakwah dan kemasyarakatan masjid berkenaan. Sumbangan tersebut diserahkan kepada Setiausaha Badan Kemajuan Masjid, Ustaz Muhammad Rifa’ah, sebagai tanda solidariti dan persaudaraan Islam merentas sempadan.
Mengiringi keberangkatan baginda ialah Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) MAIPs, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Kamarudin Hussin, serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Masjid Taj’ul Madras yang terletak di Jalan Teuku Cik Ditiro No. 65, Madras Hulu, merupakan antara masjid bersejarah di Medan yang mencerminkan kehadiran komuniti India Muslim sejak dahulu lagi. Seni bina serta budaya India jelas terpantul pada reka bentuknya, malah papan tanda masjid turut memaparkan aksara India, hasil usulan tokoh agama Ustaz Abdul Latif Khan yang memberikan nama “Taj’ul Madras” bermaksud mahkota tempat belajar.
Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, masjid ini juga aktif sebagai pusat dakwah dan kebajikan masyarakat. Antara kegiatan utamanya ialah program pengajian Islam, pengagihan bantuan makanan setiap Jumaat, serta majlis berbuka puasa sunnah pada Isnin dan Khamis. Inovasi menarik turut dilaksanakan, antaranya mesin automatik agihan beras untuk golongan rentan serta penganjuran jamuan ma’as-sabil atau jamuan jalanan untuk orang ramai.
Tuanku Raja Muda menzahirkan harapan agar Masjid Taj’ul Madras kekal menjadi mercu tanda warisan komuniti India Muslim di Medan, serta dimanfaatkan secara optimum sebagai pusat pengukuhan ilmu, dakwah dan kebajikan ummah.