RAJA MUDA PERLIS TITAH PENDIDIKAN TERAS BENTUK GENERASI CEMERLANG

30 September 2025. Arau. Semua pelajar diseru agar melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang relevan, kemahiran insaniah, serta nilai-nilai murni demi melahirkan modal insan kelas pertama yang bukan sahaja unggul dari segi akademik, malah berperanan sebagai agen pembangunan negeri dan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga bertitah, pendidikan merupakan teras utama dalam membentuk generasi masa depan yang cemerlang serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat.

“Tanggungjawab besar ini sudah tentu dipikul oleh para guru yang menjadi tonggak kejayaan pendidikan. Justeru, warga pendidik diseru agar terus melaksanakan amanah ini dengan penuh ketekunan, kesungguhan dan dedikasi tinggi, demi memastikan kecemerlangan pendidikan dapat dicapai secara berterusan”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Dato’ Sheikh Ahmad Kali Ke-48 Tahun 2025 di Dewan Datuk Wan Ahmad sekolah berkenaan di Arau.

Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengetua Sekolah, Hajah Adilah Muhammad Nor.

Turut hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Haji Che Rasaidi Bin Che Yob.

Hari anugerah cemerlang ini adalah bertujuan untuk menghargai pencapaian murid dengan memberi pengiktirafan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan, di samping mendorong motivasi agar murid lain berusaha lebih gigih untuk mencapai kecemerlangan.

Selain itu, ia turut mengiktiraf peranan guru serta ibu bapa atas usaha dan sokongan mereka dalam kejayaan pelajar, membentuk budaya kecemerlangan melalui semangat bersaing secara sihat, disiplin dan nilai murni, serta mengukuhkan hubungan sekolah dengan komuniti melalui kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG, agensi luar dan masyarakat setempat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian beberapa anugerah utama kepada pelajar cemerlang.

Antara penerima anugerah tersebut ialah Loh Chin Rou bagi Anugerah Terbaik SPM 9A; Nur Syamimie Zaki, Izdhihar Zulkifli dan Nur Athirah Hasrol Nisyri bagi Anugerah Terbaik SPM Semua A; Nur Syamimie Zaki sekali lagi bagi Anugerah Khas Datuk Wan Ahamad; Izdhihar Zulkifli bagi Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis; serta Saharom Bakar bagi Anugerah Citra Budi.

Selain itu, turut disampaikan beberapa pengiktirafan lain termasuk Anugerah Pencapaian Terbaik Dinamis kepada lima penerima, Anugerah Pencapaian Terbaik Mata Pelajaran SPM 2024 kepada 13 penerima, Anugerah Kepimpinankepada enam penerima serta Anugerah Keterampilan kepada empat penerima.

Majlis pada pagi itu diserikan lagi dengan pemeriksaan kawalan kehormatan oleh 1 pegawai dan 76 anggota Kadet serta persembahan tabik hormat, pelbagai persembahan oleh para pelajar termasuk puisi bertajuk “I Am My Own Light”, pidato bertajuk “Patriotisme Digital: Melindungi Data, Privasi, Demi Kedaulatan Negara”, serta tarian dan nyanyian oleh kumpulan Citra Seni Tari dan pelajar berbakat sekolah.

Hari Anugerah Kecemerlangan ini sekali lagi membuktikan komitmen SMK Datuk Sheikh Ahmad dalam melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga unggul dari aspek kepimpinan, sahsiah dan keterampilan diri.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.