MAIPs Kecam Tindakan Zionis Tahan Sukarelawan Flotilla, Seru Dunia Tegakkan Kemanusiaan

ARAU, 2 Okt 2025 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menzahirkan rasa dukacita serta mengecam tindakan pihak Zionis yang menahan beberapa sukarelawan kemanusiaan Global Sumud Flotilla ketika mereka sedang dalam misi menghantar bantuan ke Gaza, Palestin.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan selepas Mesyuarat MAIPs Bil. 5/2025 hari ini menyifatkan tindakan menahan dan menghalang sukarelawan daripada melaksanakan misi kemanusiaan sebagai perbuatan yang “tidak wajar sama sekali” dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat serta prinsip hak asasi manusia.

“Adalah tidak wajar sama sekali bagi sukarelawan yang menghulurkan bantuan kemanusiaan ditahan dan dihalang daripada melaksanakan misi mereka. Lebih mendukacitakan lagi sekiranya diperlakukan apa yang tidak sewajarnya,” titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs.

Baginda turut menegaskan, seluruh dunia kini sedang meneliti dengan dekat perkembangan situasi di Gaza, dan masyarakat antarabangsa harus memikul tanggungjawab bersama memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan dengan selamat tanpa sekatan.

Solidariti Perlis Untuk Palestin

Di negeri Perlis, semua masjid sejak 8 April lalu telah melaksanakan bacaan Qunut Nazilah sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin. MAIPs menyeru umat Islam, khususnya rakyat Perlis, supaya terus memperbanyakkan doa, amal soleh dan bersatu hati dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas.

“MAIPs juga menyeru seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama dan negara agar berusaha sedaya upaya memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat, tanpa sebarang sekatan atau penindasan, demi menyelamatkan nyawa dan meringankan penderitaan rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu lagi.

Doa Untuk Kemenangan Palestin

Menutup kenyataan, MAIPs mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran serta kemenangan kepada umat Islam di Palestin, di samping melindungi para sukarelawan yang berjuang demi kemanusiaan.

Kenyataan rasmi tersebut ditandatangani oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, yang juga Pengerusi MAIPs, dan termaktub di Istana Arau pada 2 Oktober 2025.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.