PAUH PUTRA, 2 Oktober — Bahasa Melayu tidak boleh hanya gah di tanah air sendiri tetapi mesti dibawa sebagai bahasa ilmu yang berwibawa ke pentas dunia.
Itulah peringatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan Seminar Bahasa: Memperkasakan Bahasa Melayu Dalam Bidang Teknikal di Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini.
Baginda yang juga Canselor UniMAP menegaskan bahawa memperkasa bahasa Melayu dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan profesional lain adalah amanah bangsa untuk mempertahankan jati diri di tengah arus globalisasi yang semakin deras.
“Bahasa Melayu ialah warisan bangsa dan simbol kedaulatan negara. Jangan kita hanya pandai berbangga di laman sendiri, tetapi segan untuk mengangkatnya di pentas antarabangsa,” titah baginda lantang.
Seruan Kepada Mahasiswa
Baginda menitipkan pesan khusus kepada mahasiswa dan mahasiswi supaya berani menulis, meneliti dan berfikir dalam bahasa Melayu. Generasi inilah, ujar baginda, yang akan memperkayakan bahasa dengan istilah baharu sesuai dengan cabaran Revolusi Industri 4.0.
“Dengan kreativiti anak muda, bahasa Melayu mampu bersaing di peringkat global. Jangan tunggu orang lain, kita yang mesti berani memimpin,” titah Tuanku lagi.
Bahasa Sebagai Jambatan Kemajuan
Seminar yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Komuniti (IKSK) serta Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) UniMAP, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bukan sekadar forum akademik.
Raja Muda mahu ia menjadi titik tolak gerakan nasional — menyatukan universiti, industri, serta badan bahasa untuk membina istilah teknikal yang seragam dan kukuh.
“Bahasa Melayu harus menjadi jambatan kemajuan. Kalau kita serius, bahasa inilah yang akan membawa Malaysia berdiri megah di gelanggang antarabangsa,” tegas baginda.