RAJA MUDA PERLIS HARGAI SUMBANGAN PENAJA SOKONG PEMBANGUNAN NEGERI

1 Oktober 2025 | Kuala Lumpur

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan penghargaan tinggi kepada semua penaja dan penyumbang yang telah membantu menjayakan pelbagai program pembangunan umat, pendidikan, kesihatan, kebajikan, sukan dan kebudayaan di negeri Perlis.

Baginda bertitah, sokongan padu daripada sektor korporat dan swasta merupakan pelengkap penting kepada usaha-usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Kita harus sedar bahawa sokongan padu daripada sektor korporat dan swasta mampu menjadi pelengkap kepada usaha-usaha membangunkan negeri Perlis. Sumbangan ini jelas mencerminkan hubungan erat serta kerjasama padu antara institusi diraja, kerajaan negeri, dan sektor swasta,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru agar lebih banyak syarikat, organisasi serta individu tampil memberikan sokongan terhadap inisiatif yang membawa manfaat bersama kepada umat dan masyarakat Perlis.

“Apabila semua pihak berganding bahu, negeri Perlis akan terus melakar pencapaian besar dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa,” titah Baginda lagi.

Titah tersebut dizahirkan ketika Tuanku Raja Muda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi Penaja Sisipan Khas Dalam Akhbar Tempatan sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, serta Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-82 Tuanku Raja Perlis bagi tahun 2025 di Luminare Hall, Petaling Jaya Trade Centre, Damansara Perdana.

Keberangkatan Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Majlis berprestij itu dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dengan Mutiara Perlis Sdn. Bhd. selaku penganjur bersama.

Dalam majlis berkenaan, Tuanku Raja Muda turut berkenan melancarkan Buku “Legasi Kepimpinan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail”, hasil kerjasama strategik antara Pejabat SUK Perlis dan Media Prima Omnia Sdn. Bhd., selain mengurniakan cenderamata penghargaan kepada para penaja.

Antara penaja utama ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, MAIPs, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Mutiara Perlis Sdn. Bhd., MRCB, Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd., Sinar Jernih Sdn. Bhd., dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Turut menyumbang ialah CIMA, Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd., Atlan Holdings (Emas Kerajang Berhad), Universiti Sains Malaysia (USM), CMart, KPJ Perlis, Media Prima Berhad, Sadariffa Enterprise, dan Media Mulia Sdn. Bhd.

Untuk rekod, kemuncak sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis telah berlangsung pada 17 April 2025 menerusi Majlis Santapan Diraja di Istana Arau yang dihadiri tetamu Diraja termasuk Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam — simbol penghormatan terhadap jasa dan kepimpinan Tuanku Syed Sirajuddin.

Pelbagai program turut dirancang dan sedang dilaksanakan sepanjang tempoh sambutan bersejarah ini sehingga 16 April 2026, yang bakal memperkukuh hubungan erat antara rakyat dan institusi diraja Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.