Kuala Lumpur – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulaill bertitah bahawa Majlis Malam Perlis bukan hanya sebuah tempat pertemuan tahunan, malah merupakan wadah penting bagi anak-anak Perlis untukn mengukuhkan hubungan kekeluargaan, di samping menzahirkan kecintaan yang mendalam terhadap negeri kelahiran masing-masing.
Baginda bertitah, tema “Inilah Perlis” bertepatan dan memberi makna yang jelas kerana dapat mencerminkan identiti Negeri Perlis, sekaligus mengangkat martabat negeri di persada nasional dengan menonjolkan keindahan budaya, adat serta warisan yang menajdi tonggak kebanggaan bersama.
“Beta berharap agar usaha murni sebegini dapat melahirkan generasi anak kelahiran Perlis yang berilmu, berdaya saing, berpandangan jauh dan menghargai akar budaya tersendiri.
“Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) perlu memainkan peranannya sebagai pemangkin dalam memperkasakan kualiti diri, memperluas peluang pendidikan, serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” ujar baginda.
Demikian titah Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulaill ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Malam Perlis 2025 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba baginda turut diiringi oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) serta Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat sama ialah anakanda puteri baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM), Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Selain itu, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan penghargaan kepada ahli kepimpinan serta seluruh warga PPKL atas dediaksi dan komitmen mereka dalam menjayakan Majlis Malam Perlis 2025 dan berharap agar terus kekal relevan, unggul serta beristiqamah dalam melaksanakan agenda kebajikan rakyat di seluruh negeri Perlis.
Pada masa yang sama, baginda turut berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh PPKL kepada bekas peneraju Renong dan UEM Group, Tan Sri Datuk Seri Halim Saad, serta Anugerah Tokoh Usahawan YTSP Perlis kepada, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan dan sumbangan mereka selaku anak jati Perlis yang cemerlang pada peringkat nasional.
Baginda turut berkesempatan berkenan melancarkan Coffee Table Book (CTB) bersempena Ulang Tahun ke- 38 Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis.
Majlis Malam Perlis anjuran PPKL ini berjaya menghimpunkan sebanyak 1,440 orang ahli yang bertujuan untuk memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan warga Perlis, disamping memperluas jaringan kerjasama serta memupuk semangat cinta akan negeri tercinta.