Oleh: Sholina Osman
12 OKT. 2025
Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis terus komited memperkasa agenda kebajikan dan pendidikan negeri menerusi pelaksanaan pelbagai program tahunan yang melibatkan penyertaan aktif komuniti, para pelajar serta sokongan padu daripada pelbagai pihak berkepentingan di Negeri Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Pengerusi YTSP Perlis, bertitah bahawa sepanjang tahun ini Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis telah berjaya melaksanakan tiga program berimpak tinggi, iaitu ‘Program Jamalullail Leads In Digital School (JLIDS) Negeri Perlis’, ‘Perlis Online Tuition’, dan ‘Program Mesra AI Robotic’.
Program-program ini jelas mencerminkan komitmen berterusan YTSP Perlis dalam mencapai visi dan misinya untuk memperkasa masyarakat melalui pendidikan dan kebajikan.
TIDAK BERBELAH BAHAGI
Tuanku Raja Muda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Lembaga YTSP yang telah memberikan komitmen serta sumbangan yang tidak berbelah bahagi dalam memperkukuh peranan Yayasan sebagai salah sebuah institusi kebajikan dan pendidikan yang unggul di Negeri Perlis.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis Kali Ke-37, Bilangan 1/2025, yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Baginda turut menyeru agar semua Ahli Lembaga terus memberikan pandangan, cadangan dan idea baharu bagi memperkukuh prestasi YTSP Perlis dari semasa ke semasa.
KELANGSUNGAN SERTA KEBERKESANAN
Tambah Baginda lagi, usaha ini penting bagi memastikan kelangsungan serta keberkesanan peranan YTSP Perlis dalam menghadapi cabaran dan memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.
“Kita bertanggungjawab memastikan hala tuju Yayasan sentiasa segar, progresif serta responsif terhadap keperluan umat di Negeri Perlis,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi.
Di majlis yang sama Tuanku Raja Muda berkenan menyerahkan watikah pelantikan Ahli Lembaga Yayasan yang baru kepada Tan Swee Leong @ Steven Tan bermula 1 Oktober 2025. - JM