Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat singgah mengadakan lawatan ke Pusat Kreatif Tuanku Bainun (PKTB) yang terletak di No. 48, Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika melangkah masuk ke PKTB.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil melangkah masuk ke PKTB dan disambut oleh pihak pengurusannya.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusi Pusat Kreatif Tuanku Bainun, Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah, Raja Datuk Seri Yong Sofia Sultan Azlan Shah, serta pengurusan pusat berkenaan.
Kunjungan tersebut bersempena dengan program Kayuhan Smart MAL anjuran Mal Tel Technology Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dahua Malaysia Sdn. Bhd. serta Sambutan 25 Tahun Pemasyhuran Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Raja Muda Perlis dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sebagai Raja Puan Muda Perlis.
Dalam lawatan tersebut, Baginda berdua turut dipersembahkan taklimat mengenai operasi dan objektif pusat oleh Pengurus Besar PKTB, Wan Aminah Wan Suffian.
Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun (PKTB) yang berada di bawah naungan Raja Permaisuri Tuanku Bainun binti Mohd Ali merupakan sebuah institusi bukan berasaskan keuntungan yang memupuk bakat seni dan kreativiti kanak-kanak serta remaja di Malaysia.
Melalui program unggulnya, “Alam Kreatif”, PKTB menawarkan pelbagai aktiviti yang merangkumi teater, muzik, tarian, seni visual, dan kulinari kepada peserta berusia antara tujuh hingga 17 tahun. Selain itu, program ini juga bertujuan membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi, serta kecintaan terhadap seni dan budaya tempatan, di samping menyediakan peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan istimewa.
Bertempat di kawasan hijau Taman Tun Dr. Ismail, pusat ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti KuAsh Theatre, Temu Tamu Hall, serta beberapa buah studio seni yang turut dibuka kepada komuniti setempat.
Dengan visinya untuk menjadikan jambatan antara seni, pendidikan dan masyarakat, PKTB komited melahirkan generasi muda yang kreatif, berbudaya serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut menyaksikan sesi penyerahan sumbangan daripada syarikat Mal Tel Technology dan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon Yew kepada pihak PKTB yang diterima oleh Puan Wan Aminah.