Raja Muda Perlis Titah MAIPs Kekal Sebagai Model Institusi Agama Berintegriti

4 Oktober 2025 | Kuala Lumpur

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah agar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus menjadi model institusi agama yang telus, berintegriti dan diyakini rakyat.

Baginda yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap hormat Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, di Ibu Negara baru-baru ini.

Menurut Baginda, komitmen terhadap prinsip tadbir urus yang baik bukan sahaja penting untuk memastikan keberkesanan pengurusan zakat dan aset MAIPs, malah menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama di Negeri Perlis.

Baginda turut menegaskan kepentingan memperkukuh pelaksanaan sistem kawalan dalaman, pelaporan kewangan yang telus, serta pematuhan terhadap piawaian audit negara sebagai teras kepada pengurusan yang berintegriti.

Tuanku Raja Muda turut menyentuh tentang keperluan membudayakan akauntabiliti dan profesionalisme di semua peringkat pelaksanaan program serta pengurusan sumber. Dalam masa yang sama, Baginda memaklumkan bahawa MAIPs bakal melancarkan Pelan Strategik 2026–2030 sebagai hala tuju baharu bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperluas impak sosial, dan meningkatkan kepercayaan awam terhadap institusi agama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan atas komitmen Jabatan Audit Negara dalam memberikan pandangan serta cadangan penambahbaikan yang konstruktif.

“Bimbingan dan teguran profesional daripada Jabatan Audit Negara amat kami hargai. Ia bukan sekadar memastikan kepatuhan, tetapi menjadi pemangkin kepada budaya tadbir urus berintegriti dan inovasi pengurusan zakat yang lebih mampan,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan komitmen seluruh warga MAIPs untuk terus memperkukuh kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan demi manfaat ummah, selaras dengan titah Tuanku Yang Dipertua MAIPs.

Terdahulu, Mesyuarat Penutup bersama Ketua Audit Negara telah diadakan di Putrajaya, yang memberi tumpuan kepada pelaporan audit, pengukuhan kawalan dalaman serta cadangan penambahbaikan berterusan bagi memastikan MAIPs kekal berdaya urus tinggi dan menepati piawaian audit negara.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.