KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2025 — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menasihatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar sentiasa berbelanja mengikut kemampuan serta mengelak daripada terjebak dengan pinjaman tidak sah, khususnya daripada Along.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 dan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda di Dewan Datuk Othman Harun, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tuanku Syed Sirajuddin yang juga Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) turut mengingatkan seluruh warga kedua-dua kor yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan kaum agar sentiasa menjaga nama baik pasukan serta mengekalkan tahap disiplin dan semangat kebersamaan ‘esprit-de-corps’ yang tinggi.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. Turut berangkat, Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Ketibaan Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi RRD, Brigedier Jeneral Shamsor Hj. Jaafar, dan Pengerusi KPTD, Brigedier Jeneral Shamsulakmar Hj. Ismail.
Dalam ucapannya, Brigedier Jeneral Shamsor menyeru seluruh warga RRD dan KPTD agar terus mengekalkan komitmen, dedikasi dan disiplin tinggi dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Menurutnya, semangat juang dan nilai disiplin merupakan teras kekuatan kedua-dua pasukan dan perlu terus dipelihara bagi memastikan RRD dan KPTD kekal cemerlang serta disegani dalam ATM.
Majlis turut menyaksikan Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan upacara pemotongan kek sempena ulang tahun keputeraan Baginda serta menyampaikan penghargaan khas Piala Tuanku Syed Sirajuddin kepada Pengerusi RRD sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan kepimpinan dan pencapaian rejimen tersebut.
Acara malam berprestij itu turut diserikan dengan pameran khas yang menonjolkan perjalanan kepimpinan, sumbangan dan jasa Tuanku Kolonel Yang Di-Pertua terhadap RRD dan KPTD — sebagai lambang keprihatinan serta sokongan padu Baginda kepada warga tentera.