PENUBUHAN JPPIK NAUNGAN MKI BUKTI KEPRIHATINAN MAJLIS RAJA-RAJA TERHADAP PENDIDIKAN ISLAM

KANGAR, 18 Oktober 2025 — Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) di bawah naungan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) disifatkan sebagai langkah bijaksana yang mencerminkan keprihatinan Majlis Raja-Raja dalam memastikan sistem pendidikan Islam di negara ini kekal tersusun, berwibawa dan relevan dengan keperluan semasa.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif tersebut memperlihatkan kesungguhan berterusan untuk memperkukuh martabat pendidikan Islam agar terus melahirkan generasi umat Islam yang berilmu, berakhlak mulia dan beradab tinggi.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta ahli JPPIK MKI atas komitmen dalam mempertingkat kurikulum, pentadbiran dan pengajaran pendidikan Islam di pelbagai peringkat.

Tuanku Raja Muda bertitah demikian selepas berkenan mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Padang Melangit, Beseri, baru-baru ini.

Antara yang mengiringi Baginda ialah Pengerusi JPPIK MKI Tan Sri Datuk Haji Alimuddin Haji Mohd Dom; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib Ismail; serta Mufti Johor merangkap Ahli JPPIK MKI Sahibus Samahah Datuk Yahaya Ahmad.

Program kayuhan amal ini menjadi platform berkesan dalam menyantuni golongan asnaf dan memperkukuh hubungan institusi agama dengan masyarakat di peringkat akar umbi. Usaha tersebut turut selaras dengan matlamat MAIPs untuk memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara cekap dan berkesan, seterusnya sampai terus kepada golongan sasaran.

Pada masa sama, ia menggalakkan masyarakat menunaikan zakat melalui saluran rasmi demi memperkukuh keberkatan, ketelusan dan kepercayaan awam terhadap institusi agama.

Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah kepada tiga penerima terpilih, iaitu Ismail Mahmud, 72, dari Kampung Beseri; Mat Isa Ab Rahman, 64; dan Hairin Noranwar Hamid, 46, masing-masing dari Kampung Belukar.

Tuanku Raja Muda turut meluangkan masa menyantuni ahli Persatuan Penduduk Kampung Belukar yang terlibat dalam aktiviti rekreasi All-Terrain Vehicle (ATV) dan program penanaman pokok yang diadakan bagi memupuk semangat kebersamaan serta kelestarian alam sekitar dalam kalangan penduduk setempat.

Sementara itu, pada sebelah malamnya, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima sembah menghadap hormat oleh Tan Sri Alimuddin dan Datuk Yahaya. Majlis tersebut turut dihadiri Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda di Kangar.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.