Rakyat perlu diterapkan dengan budaya sayang alam sekitar – Raja Perlis

Wartawan JM
3 NOV. 2025

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya rakyat negeri itu menerapkan budaya menyayangi alam sekitar dengan terlibat secara aktif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi seperti dianjurkan Jabatan Perhutanan.

Baginda bertitah langkah itu dapat menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi masa hadapan.

Baginda juga menekankan supaya budaya sayang alam sekitar dapat disebar luas supaya setiap daripada kita terutama rakyat Perlis untuk terlibat secara aktif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan seperti yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan.

MENGURUS KHAZANAH HUTAN

“Saya berkeyakinan tinggi, Jabatan Perhutanan akan terus cemerlang dalam menggalas tanggungjawab mengurus khazanah hutan di Perlis selari dengan visi jabatan sebagai peneraju terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara lestari”,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada penutup pertandingan mencerap dan merekod spesies burung, The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025 di kawasan Arked Niaga Wang Kelian.

Pertandingan itu berlangsung pada 30 Oktober hingga 2 November.

Hadir sama Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni.

197 SPESIES BURUNG

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah berdasarkan inventori burung dilaksanakan Jabatan Perhutanan Perlis melalui Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) pada 2022, terdapat 197 spesies burung direkodkan di sepanjang Banjaran Nakawan manakala 170 spesies di Wang Kelian.

Sehubungan dengan itu, Raja Perlis bertitah baginda percaya dengan adanya penganjuran pertandingan seumpama itu, rekod burung di Banjaran Nakawan dan Wang Kelian khususnya akan dapat dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Dengan pelaksanaan yang betul, program (pertandingan) seperti ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran awam tentang peranan kepelbagaian spesies dalam sesuatu ekosistem.

UNTUK MENARIK PELANCONG

“Besarlah harapan saya agar penganjuran program The Northernmost International Bird Race Wang Kelian dapat diteruskan pada masa akan datang untuk menarik pelancong bertandang ke Perlis khususnya untuk menjalankan aktiviti pemerhatian burung,” titah baginda.

Baginda bertitah pertandingan edisi kedua itu selepas diperkenalkan pada 2023 kini menjadi antara acara tahunan dinantikan peminat unggas setanding Bukit Fraser BirdRace Pahang, Taiping Bird Week Perak, Wings of Kuala Kubu, Pesta Sayap Selangor serta Borneo Bird Fair Sabah.

“Saya percaya melalui aktiviti ini, rakyat khususnya penduduk sekitar Wang Kelian dan Kaki Bukit akan mendapat limpahan ekonomi secara tidak langsung. Justeru, saya menyeru supaya semua pihak mengambil peluang ini dan kembangkan potensi yang sekian lama telah tersimpan,” titah baginda. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.