KANGAR, 5 Nov (Bernama) — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kreativiti dan teknologi merupakan tunjang dalam membentuk masa depan bangsa yang gemilang seiring dengan keperluan abad ke-21.
Berkenan menyempurnakan perasmian “Prints and Pixels Expo (PriPEx) 2025” dan “Digital Utilisation and Technology Award (DUTA)” peringkat negeri di sini hari ini, baginda bertitah pameran itu bukan sahaja membuka ruang kepada peserta untuk menonjolkan hasil rekaan dan inovasi malah mengasah kemahiran seperti berfikiran secara kritis, berkomunikasi serta literasi digital.
“Saya amat berharap agar PriPEx 2025 menjadi wadah berterusan yang melahirkan lebih ramai pencipta digital, pereka grafik inovatif dan pakar teknologi pendidikan dalam kalangan rakyat Perlis serta generasi baharu yang mampu mengharumkan nama negeri ini di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” titah baginda.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
PriPEx 2025 yang berlangsung dari 3 Nov hingga esok itu menghimpunkan pelbagai teknologi pendidikan, hasil reka bentuk digital, produksi multimedia dan demonstrasi aplikasi inovatif oleh sekolah di Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pendekatan berasaskan teknologi kini menjadi keperluan penting dalam dunia pendidikan yang perlu diterokai oleh warga pendidik serta pelajar untuk menzahirkan idea dan penyelesaian terhadap cabaran masyarakat semasa.
“Saya dan Raja Puan Muda sentiasa mendoakan agar segala usaha untuk memperkasa dunia pendidikan, seni dan teknologi di negeri Perlis akan terus diberkati serta diberi kejayaan berterusan,” titah baginda.
— BERNAMA