Mantan Ketua Polis Perlis dinobat Tokoh Sayyidatina Asma’

Mantan Ketua Polis Perlis dinobat Tokoh Sayyidatina Asma’

ARAU: Mantan Ketua Polis Perlis, Dato’ Surina Saad, diangkat sebagai Tokoh Sayyidatina Asma’ 2025 atas jasa bakti dan sumbangan besarnya dalam bidang keselamatan serta kepemimpinan wanita di negeri ini.

Anak jati Seriab itu mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi Ketua Polis wanita pertama di Perlis dan telah berkhidmat hampir 34 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), menjadikannya antara figura wanita paling berpengaruh dalam perkhidmatan awam negeri.

Kerajaan Negeri Perlis menyifatkan pengiktirafan ini sebagai tanda penghargaan terhadap wanita yang bukan sekadar pengikut dalam pembangunan negeri, bahkan penggerak perubahan dan rakan strategik pembangunan sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.

Majlis Perasmian Sambutan Hari Sayyidatina Asma’ 2025 dan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2025 Peringkat Negeri Perlis berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Majlis Perbandaran Kangar (Dewan Sivik Arau) pada 7 hingga 9 November 2025.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan menyempurnakan perasmian turut mengurniakan anugerah, serta hadiah kepada para penerima sebelum berangkat melawat reruai pameran dan beramah mesra bersama pengunjung.

Turut hadir ialah isteri Menteri Besar, Najwa Othman dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan dan isteri, Pegawai Kewangan Negeri, Saharuddin Sarwan dan isteri, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Badariah Wan Saad, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat.

Sambutan dianjurkan Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Program ini bertujuan memperkukuh institusi kekeluargaan melalui pelbagai program ke arah kesejahteraan dan keharmonian sosial dengan tema, ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’.

Ia menekankan penerapan nilai KASIH yang menjadi akronim daripada Kasih sayang, berAkhlak, Sihat dan selamat, berIlmu serta Harmoni sebagai asas pembentukan keluarga sejahtera dan masyarakat berdaya tahan.

Kerajaan Negeri menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh institusi keluarga sebagai tunjang kesejahteraan negeri melalui pelaksanaan program berimpak seperti ini dan mahu menjadi negeri contoh dalam membina keluarga harmoni, masyarakat sejahtera dan generasi berdaya tahan. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.