Raja Puan Muda Perlis Berkenan Hadiri Program Seni ‘Epigraf’ Di Chuping

epigraf

16 November 2025.
Chuping.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan lawatan ke ‘Epigraf’, sebuah acara seni berskala sederhana namun kaya dengan nilai apresiasi, merangkumi syarahan seni, pameran lukisan, tayangan filem dan bengkel seni yang berlangsung di Ruang Oleh BalBuk Haus, Chuping.

Program ini dianjurkan sebagai usaha memperkasa kecintaan terhadap seni melalui eksplorasi kreatif berasaskan karya-karya Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said, dengan sokongan padu daripada Balai Seni Negara. Berteraskan aspirasi untuk memasyarakatkan seni, semua aktiviti dibuka secara percuma bagi memberi peluang kepada khalayak menikmati pengalaman seni tanpa sebarang batasan.

Bagi memeriahkan Program Eksplorasi Karya Agung Sasterawan Negara, Ruang Oleh BalBuk Haus turut menampilkan pameran karya oleh Husin Othman dan Arafat Hambali, sekali gus menyediakan ruang untuk interpretasi visual terhadap sastera agung negara.

Selain itu, bengkel cetakan cungkil kayu juga dibuka kepada umum secara terhad, lengkap dengan penyediaan peralatan dan makanan demi memastikan pengalaman pembelajaran yang selesa dan kondusif. Mengangkat semangat penganjuran, Epigraf hadir dengan mesej yang menyentuh jiwa: “Datang bawa damai, pulang bawa cinta.”

Dalam skala lebih luas, Balai Seni Negara turut menghimpunkan 14 program melibatkan pelbagai persatuan seni lukis serta pelukis cat air dari seluruh negara di bawah payung Program Eksplorasi Karya Agung. Inisiatif ini bertujuan mengangkat karya-karya sastera agung Malaysia sebagai sumber inspirasi utama bagi penghasilan karya seni visual, sekali gus memperlihatkan kesatuan antara seni sastera dan seni rupa dalam menggambarkan budaya, sejarah, mitos serta identiti masyarakat Malaysia.

Antara penggiat seni dan persatuan yang mengambil bahagian ialah Malaysia Watercolour Society (MWS), Persatuan Seni Visual Malaysia, Hamsa Media PLT, Persatuan Pelukis Terengganu (PETER), Mohd Khairul Anuar, Persatuan Pelukis Seni Visual Kota Kinabalu Sabah, SENIKA Pahang, SERUPA2 Johor, BalBuk Haus Perlis, Persatuan Pelukis Perak, PORT, Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang serta Art Case Galleries.

Secara keseluruhan, Epigraf menjadi simbol penyatuan komuniti seni dan wadah untuk menghargai khazanah sastera negara, menyatukan pelukis, penyair dan masyarakat dalam satu ruang yang meraikan kreativiti serta warisan budaya Malaysia. Program ini bukan sahaja memupuk apresiasi seni, tetapi turut menyalakan semula semangat kolaborasi dalam landskap seni tanah air.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.