Oleh: Nur Sabrina Samsudin
KANGAR, 17 November 2025 – Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyertai Kayuhan MAIPs Peduli bagi menjejaki dan menyantuni asnaf di Kariah Sentua, Kangar petang tadi.
Program kayuhan yang bermula sekitar jam 5.30 petang itu turut disertai YBhg. Tan Sri Peguam Negara, menzahirkan sokongan bersama dalam usaha memperkukuh agenda kebajikan dan pemberdayaan asnaf di negeri ini.
Keberangkatan baginda ke Mahkamah Kangar selaku lokasi pelepasan kayuhan menyerlahkan komitmen tinggi institusi diraja dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan asnaf yang berdepan cabaran hidup.
Program turun padang ini juga memberi peluang kepada MAIPs untuk menilai sendiri keadaan semasa penerima bantuan serta menyantuni mereka secara lebih dekat. Inisiatif sedemikian diharap terus memberi sinar baharu kepada golongan memerlukan melalui pendekatan lebih mesra dan inklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Ustaz Mohd Nazim Mohamad, turut mengiringi baginda dalam kayuhan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperluas capaian bantuan zakat kepada masyarakat asnaf di seluruh Perlis.
Kayuhan MAIPs Peduli merupakan program berterusan yang menyasarkan kebajikan keluarga asnaf melalui lawatan, penyerahan bantuan serta pemantauan keadaan semasa mereka agar setiap agihan zakat berada pada landasan yang tepat dan berkesan.