Oleh: Sholina Osman
18 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, Kangar, yang mengalami kemusnahan hampir 90 peratus akibat kebakaran yang dipercayai bermula dari sebuah bilik stor baru-baru ini.
Kejadian itu telah menjejaskan keseluruhan blok bilik darjah tersebut.
Seorang pekerja pembersihan cedera dalam insiden itu dan telah menerima rawatan lanjut di hospital, dengan keadaan dilaporkan stabil.
Ketika kejadian berlaku, tiada murid berada di blok berkenaan kerana sesi persekolahan tidak melibatkan penggunaan ruang tersebut pada waktu itu.
AGAR TINDAKAN SEGERA
Semasa lawatan, Baginda menzahirkan rasa prihatin dan menyeru agar tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan, terutamanya dalam memastikan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan infrastruktur sekolah dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Baginda menegaskan kepentingan memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat diteruskan demi kesejahteraan dan masa depan pendidikan mereka. – JM
Tarikh kemaskini: 11/19/2025