Oleh: Sholina Osman
24 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru seluruh rakyat negeri Perlis agar sentiasa mematuhi arahan agensi keselamatan serta mengikuti makluman terkini daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kepatuhan terhadap arahan tersebut amat penting bagi memastikan proses pemindahan dan penyelamatan mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan teratur dan selamat tanpa menambah risiko baharu.
Raja Muda turut menekankan keperluan untuk memperkasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Bantuan Bencana, khususnya di kawasan berisiko tinggi serta mudah terputus hubungan, sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi banjir yang sedang melanda beberapa lokasi di negeri ini.
ISU MANGSA TERKANDAS
“Pelaksanaan SOP bantuan wajar diperkemas, terutamanya bagi menangani isu mangsa terkandas dan terputus akses laluan seperti di Wang Kelian. Penggunaan teknologi moden seperti dron juga perlu dioptimumkan bagi tujuan pemantauan serta penghantaran bantuan ke lokasi yang sukar ditembusi,” titah Baginda.
Selain itu, Baginda turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan kawasan yang masih berarus deras, berwaspada terhadap kabel elektrik terdedah, serta berhati-hati dengan kemungkinan kehadiran haiwan berbisa yang terbawa arus banjir. Kanak-kanak juga hendaklah dielakkan daripada bermain di kawasan dinaiki air bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Titah tersebut dizahirkan ketika Raja Muda berkenan berangkat meninjau keadaan semasa banjir serta menyantuni mangsa di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Padang Besar, termasuk PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mata Air dan PPS Dewan Felda Mata Air.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut mengiringi keberangkatan Baginda.
BAGINDA BERDUA DISAMBUT
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Penghulu Bahagian Pentadbiran Daerah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis merangkap Urusetia Jawatankuasa Bencana Negeri, Reswan Ramli, serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banjir di beberapa kawasan seperti Wang Kelian, Titi Tinggi dan Lubuk Sireh.
Ketika ini, PPS SK Felda Mata Air menempatkan 264 mangsa dari kawasan Titi Tinggi yang dipindahkan selepas PPS asal di SK Titi Tinggi ditutup berikutan paras air berbahaya.
PPS Dewan Felda Mata Air pula menempatkan seramai 90 mangsa.
PUSAT PEMINDAHAN DIBUKA
Selain dua PPS berkenaan, dua lagi pusat pemindahan dibuka iaitu PPS SK FELCRA Lubuk Sireh yang kini menempatkan 71 mangsa.
Situasi lebih kritikal dilaporkan di PPS Masjid Nurul Husna, Wang Kelian, yang bukan sahaja menempatkan 150 penduduk tempatan, tetapi turut menjadi tempat perlindungan kira-kira 500 pelancong dan pengembara yang terkandas ketika dalam perjalanan pulang dari Thailand akibat jalan raya terputus hubungan.
Pembukaan serta pengurusan PPS yang berjalan lancar merupakan hasil kerjasama erat pelbagai agensi. Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, pengurusan FELDA dan FELCRA, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta MAIPs telah memberikan komitmen penuh dengan menyediakan fasiliti seperti sekolah, dewan orang ramai dan masjid bagi menampung keperluan mangsa.
Selain penyediaan premis, MAIPs bersama Bahagian Pentadbiran Daerah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bertindak segera menyalurkan bantuan awal pengurusan.
Operasi menyelamat dan pemindahan mangsa pula digerakkan dengan kecekapan pasukan keselamatan melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM, APM serta pasukan RELA. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia