Tuanku Syed Sirajuddin Titah Perkukuh Penyelidikan Demi Kesejahteraan Rakyat

Tuanku Syed Sirajuddin Titah Perkukuh Penyelidikan Demi Kesejahteraan Rakyat

5 November 2025.
Pulau Pinang.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa penyelidikan berimpak tinggi merupakan pemangkin penting dalam memperkukuh taraf hidup rakyat serta meningkatkan daya saing negara pada masa hadapan.

Usaha yang bersifat strategik dan berwawasan ini, tegas Baginda, perlu terus diperkasa demi kesejahteraan serta kemajuan seluruh masyarakat. Para ahli akademik juga diingatkan agar sentiasa beriltizam mempertingkat mutu penyampaian ilmu melalui pengajaran dan pembelajaran yang berwibawa, relevan serta berkesan.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan rasa bangga terhadap peningkatan ketara pencapaian penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) di persada antarabangsa. Keupayaan USM meraih pelbagai pengiktirafan global termasuk anugerah berprestij daripada UNESCO dan badan penyelidikan terkemuka dunia menjadi bukti kukuh bahawa para penyelidiknya memiliki ketokohan luar biasa serta bahawa hasil penyelidikan universiti terus diiktiraf pada peringkat tertinggi.

“Majlis hari ini dianjurkan bagi meraikan para penyelidik, pendidik dan pentadbir yang telah bersama-sama menyumbang kepada kecemerlangan USM. Saudara dan saudari hendaklah saling melengkapi dalam ekosistem pengajian tinggi ini, berganding tenaga serta menghimpunkan idea agar USM terus cemerlang mendepani pelbagai cabaran yang mendatang,” titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Raja Perlis selaku Tuanku Canselor USM ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Anugerah Sanggar Sanjung (MASS) 2024 anjuran Universiti Sains Malaysia yang berlangsung di AC Hotel Pulau Pinang baru-baru ini.

Turut berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama barisan pengurusan tertinggi universiti.

Majlis berprestij ini dianjurkan bagi mengiktiraf kecemerlangan warga USM dalam bidang pendidikan, pentadbiran, penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan.

Antara anugerah yang disampaikan pada peringkat universiti termasuk Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Pentadbir Sanjungan, Anugerah Kualiti dan Anugerah Sanjungan Industri.

Seterusnya, anugerah peringkat kebangsaan merangkumi Kategori Paten, Kategori Pengkomersialan Produk Penyelidikan, Kategori Geran Penyelidikan Industri dan Kategori Ketokohan, manakala bagi peringkat antarabangsa pula, anugerah meliputi Kategori Geran Penyelidikan Antarabangsa dan Kategori Penerbitan Jurnal.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Tuanku Syed Sirajuddin bagi menyempurnakan Pelancaran Buku Mewah bertajuk “Payung Kedaulatan: Menghargai Jasa DYMM Tuanku Canselor, USM”.

Pelancaran tersebut bukan sahaja menzahirkan penghargaan mendalam terhadap jasa dan kepimpinan Tuanku Canselor sepanjang menerajui USM, malah menjadi simbol komitmen universiti untuk terus memperkukuh kecemerlangan ilmu, penyelidikan serta inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2024 sekali lagi membuktikan bahawa USM kekal teguh sebagai institusi yang menjunjung budaya kecemerlangan dan menghargai sumbangan warganya, sejajar dengan aspirasi universiti untuk terus melahirkan pemimpin, pemikir dan pencipta masa hadap.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.