Oleh: Sholina Osman
1 DIS. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian ‘Pameran Manifestasi Kecemerlangan Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ yang berlangsung di Galeri Universiti, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Pro Canselor 2 UniMAP, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pustakawan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP, Mazmin Mat Akhir.
Penganjuran pameran ini selaras dengan Hala Tuju UniMAP, yang menekankan aspek Kesejahteraan Pelajar sebagai asas utama dalam melahirkan modal insan berkualiti.
HALA TUJU STRATEGIK
Pameran tersebut menampilkan tujuh segmen utama iaitu Hala Tuju Strategik Kecemerlangan Mahasiswa, Kepimpinan Pelajar, Kecemerlangan dan Pencapaian Pelajar, Komuniti dan Sukarelawan, Mobiliti serta Jaringan Global, Inspirasi Alumni, Kecemerlangan Bakat Pelajar.
Setiap segmen digarap secara komprehensif bagi menonjolkan pencapaian, kompetensi dan sumbangan mahasiswa UniMAP kepada universiti serta masyarakat, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Matlamat utama pameran ini adalah untuk mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dan alumni UniMAP, selain memberi inspirasi kepada warga universiti dan komuniti luar terhadap pencapaian serta penglibatan pelajar yang berimpak tinggi. Ia juga bertujuan meningkatkan keterlihatan bakat mahasiswa UniMAP, selaras dengan fokus Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan modal insan terbaik negara.
MERUPAKAN INISIATIF PERPUSTAKAAN
Pameran bersifat menyeluruh ini merupakan inisiatif Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP, dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, serta Pusat Perhubungan Alumni. Melalui jaringan kerjasama ini, pameran dapat dilaksanakan dengan teratur dan berfokus, sekali gus menjadi pusat sehentian strategik bagi menampilkan pencapaian mahasiswa dan alumni secara holistik.
Pameran ini terbuka kepada semua warga universiti, komuniti setempat, pelawat luar serta wakil industri dari dalam dan luar negara. Kehadiran ke pameran ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan gambaran menyeluruh mengenal tahap kecemerlangan mahasiswa UniMAP serta komitmen universiti dalam memperkukuhkan agenda pembangunan pelajar secara konsisten dan berterusan. – JM